MUSIC Rights Malaysia (MRM) meminta ahli di bawah tiga badan pelesenan gabungannya supaya bersatu padu, mengenepikan perbezaan kepentingan dan menyelesaikan isu dalaman dengan lebih profesional.
Seorang daripada ahli Lembaga Pengarah MRM, Datuk Norman Abdul Halim berkata, sebarang ketidakpuasan hati mengenai pengurusan MRM dan pembayaran royalti harus disalurkan kepada badan pelesenan masing-masing, bukannya dikeluarkan secara peribadi melalui media massa dan media sosial.
"Isu-isu yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu melalui Facebook, televisyen dan media cetak itu merupakan satu perkembangan yang tidak sihat. Kalau ada yang dicurigai atau tidak puas hati, ia harus disalurkan kepada badan masing-masing untuk dibawa kepada anggota lembaga pengarah MRM dan dibincangkan.
"Kami (MRM) sudah membalas kenyataan-kenyataan berkaitan tetapi ia tidak akan tamat kerana pastinya isu-isu baharu seperti operasi, pengurusan malah keputusan di peringkat anggota lembaga MRM sendiri pun akan ada yang tidak berpuas hati kerana kita mempunyai kepentingan berbeza. Jadi sukar untuk kita (MRM) fokus dalam meningkatkan jumlah kutipan pendapatan royalti,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Norman yang lebih dikenali sebagai Norman KRU itu berkata perkembangan yang tidak sihat itu boleh menjejaskan reputasi MRM yang merupakan badan pelesenan tunggal bagi kutipan royalti muzik di Malaysia.
Keadaan itu juga boleh dijadikan sebagai alasan kepada pengguna muzik seperti syarikat radio dan pusat karaoke untuk tidak membayar royalti kepada MRM.
Norman juga meminta badan-badan pelesenan di bawah MRM supaya memberi memberi maklumat yang lebih jelas kepada anggota-anggota mereka mengenai sesuatu isu seperti penurunan jumlah kutipan royalti dan sebagainya.
MRM yang berkuat kuasa sepenuhnya pada Ogos 2017 kini diwakili Badan Perlindungan Hak Cipta Karyawan Muzik (MACP), Public Performance Malaysia (PPM) dan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM).
Dalam pada itu Norman juga menyeru kepada bekas anggota Performers and Artist Rights (PRISM) supaya menyertai RPM bagi membolehkan mereka terus mendapat royalti.
"Dengan ini, nasib bekas anggota PRISM akan terus terbela,” katanya.
PRISM pernah menjadi salah satu gabungan badan pelesenan utama di bawah MRM sebelum entiti itu diisytihar muflis bulan lepas. - Bernama