PONTIAN - Seorang nelayan hilang pendapatan selepas bot dan enjin miliknya di Pengkalan Penghulu Serkat hilang dipercayai dicuri.
Mangsa, Johari Hamid, 46, berkata, bot kayu yang lebih dikenali sebagai bot pancung bernombor JHS 8511 B itu dan enjin 40 kuasa kuda disedari hilang ketika dia mahu turun ke laut kira-kira 7 pagi kelmarin.
Katanya, dia telah membelanjakan sebanyak RM18,000 untuk membeli enjin dan bot tersebut menggunakan wang simpanan dan pinjaman bank.
"Enjin bot dibeli melalui pinjaman kelompok bank bagi nelayan tiga tahun lalu. Setiap bulan saya akan bayar ansuran bulanan kepada bank RM500. Tinggal setahun lagi ansuran bulanan perlu dibayar.
"Bot pancung pula dibeli dengan harga RM7,000. Namun kini semuanya hilang sekelip mata. Tak tahu mana saya nak dapatkan wang sebanyak itu untuk membeli enjin dan bot,” katanya ketika ditemui di Pengkalan Penghulu di sini, semalam.
Johari turut bingung memikirkan punca rezekinya memandangkan dia bergantung sepenuhnya kepada bot dan enjin tersebut untuk menangkap hasil laut dengan pendapatan harian sebanyak kira-kira RM200.
"Saya bekerja sebagai nelayan sepenuh masa untuk menyara isteri dan seorang anak yang baharu berusia setahun.
"Nak tak nak saya terpaksa pinjam bot dari kawan-kawan untuk laut demi mencari rezeki,” katanya.
Jelasnya, laporan polis tentang kejadian kecurian itu telah dibuat di Balai Polis Permas.
Sementara itu Ketua Nelayan Pengkalan Penghulu, Jahuri Nawi, 64, berkata, kejadian kecurian itu kali pertama berlaku dalam tempoh lima tahun lepas.
"Dalam tempoh lima tahun ini memang tiada kes kecurian enjin dan bot dilaporkan berlaku di sini. Sebelum itu ada lima enjin bot nelayan hilang dipercayai dicuri.
"Kedudukan Pengkalan Penghulu yang berdepan dengan perairan antarabangsa mungkin dijadikan sasaran pencuri.
"Hanya sejam sahaja naik bot dari Pengkalan Penghulu untuk ke Tanjung Balai Indonesia,” katanya.
Jahuri meminta agar pemasangan lampu limpah dan tempat simpanan enjin bot dibina di jeti bagi mengelak kejadian kecurian berulang.
Sementara itu, Ahli Parlimen Tanjung Piai, Datuk Dr Md Farid Md Rafik berkata, hasil perbincangan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, bantuan bagi menggantikan enjin bot akan diberikan kepada Johari.
Manakala bot baharu akan diberikan oleh Pejabat Ahli Parlimen Tanjung Piai.
"Lebih banyak lampu limpah akan dipasang di pengkalan bagi menerangkan lagi kawasan terbabit pada waktu malam.
"Saya juga telah meminta pasukan keselamatan terutama polis untuk meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan di Pengkalan Penghulu,” katanya.