Ratusan tetamu keracunan makanan di parti hari jadi Imelda Marcos

Iklan
Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque (kiri) melawat seorang pesakit di wad kecemasan sebuah hospital di Manila yang dipercayai keracunan makanan ketika menghadiri sambutan hari jadi Imelda Marcos hari ini. - Foto AFP

MANILA - Lebih 200 tetamu dilaporkan jatuh sakit dipercayai akibat keracunan makanan selepas makan di parti hari jadi bekas Wanita Pertama Filipina, Imelda Marcos hari ini.

Tetamu yang muntah-muntah dikejarkan ke hospital dengan ambulans dari sebuah stadium sukan di Manila di mana hampir 2,500 orang berkumpul untuk meraikan balu Ferdinand Marcos berusia 90 tahun itu.

Iklan
Iklan

"Mereka mengadu pening dan muntah.

"Mereka dipercayai mengalami keracunan makanan," kata Pengerusi Palang Merah Filipina, Richard Gordon kepada AFP.

Iklan

Sementara itu, Setiausaha Kesihatan Filipina, Francisco Duque memberitahu wartawan jumlah mangsa yang terlibat seramai 260 orang.

Salah seorang mangsa dikenali sebagi Leonora berkata, dia percaya insiden itu disebabkan makanan di majlis tersebut.

Iklan

"Saya tidak begitu lapar jadi saya hanya makan telur dan sedikit nasi kukus. Saya muntah sebelum ambulans membawa saya ke Pusat Perubatan Rizal.

"Saya salahkan tukang masak. Semua orang tahu Madam (Imelda) tidak bersalah kerana bukan beliau yang memasak," kata wanita itu.

Parti hari jadi tersebut menampilkan acara nyanyian dan ucapan selain terdapat air botol dengan nama Imelda dan makanan dalam bekas plastik.

Keluarga Marcos kemudian meminta maaf dan berjanji membantu mangsa yang sakit dan bekerjasama dengan siasatan rasmi.

"Saya meminta maaf dan memohon anda faham. Kami akan terus membantu sehingga semua orang pulih," kata anak lelaki Imelda, Ferdinand Junior dalam satu kenyataan.

Tiada laporan mengatakan tetamu kehormat di majlis tersebut jatuh sakit.

Imelda disabitkan bersalah pada November lalu berhubung kes rasuah yang bermula pada zaman pemerintahan mendiang suaminya.

Walaupun ketika ini Imelda bebas dengan jaminan sementara menunggu rayuan, beliau berdepan hukuman penjara berpuluh tahun selepas didapati bersalah menyalurkan ratusan juta dolar menerusi dana Switzerland beberapa dekad lalu. - AFP