Belia ‘king maker’ ke Putrajaya

Iklan

[DIKEMASKINI] LANDSKAP politik negara diramalkan berubah. Hari ini satu Rang Undang-Undang (RUU) untuk menurunkan kelayakan umur pengundi daripada 21 ke 18 tahun dijangka dibentangkan di Parlimen.

Berbeza dengan usul mengisytiharkan harta Isnin lalu, pindaan terhadap Perlembagaan negara memerlukan persetujuan majoriti dua pertiga ahli Parlimen.

Iklan
Iklan

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memiliki 139 ahli Parlimen tidak boleh tidak, perlu mendapatkan sokongan sembilan lagi ahli Parlimen pembangkang untuk membolehkan usul itu diluluskan.

Namun, dengan 32 parti politik berdaftar di negara ini sudah menyatakan persetujuan dalam siri perbincangan bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tahun lalu, Perkara 119 (1) Perlembagaan dijangka tidak berdepan masalah untuk dipinda.

Iklan

Kita kini sedang mengikut jejak Amerika Syarikat, United Kingdom, India, Iran, Indonesia, Filipina, Indonesia, Thailand dan Australia yang lebih dahulu merendahkan had usia mengundi.

Ibarat sebiji kek, semua parti politik kini mahu mendapatkan potongan atau bahagian masing-masing daripada jumlah pengundi ‘remaja’ itu.

Iklan

PH yang penuh yakin kelompok muda berada di belakang mereka, pastinya tidak mahu menjadikan hashtag di media sosial, PH kerajaan sepenggal satu mimpi ngeri.

BN terutamanya UMNO pula melihat sekiranya mampu memenangi hati belia ini, parti tersebut mungkin dapat kembali menawan Putrajaya.

Tidak mustahil untuk mengatakan, kelompok pengundi berusia 18 hingga 20 tahun ini adalah penentu kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Berdasarkan perangkaan SPR, pada PRU14 lalu, kelompok muda berusia 21-39 tahun yang seramai 7.09 juta sudah membentuk hampir 50 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi 14.8 juta.

Dengan anggaran lebih 3.7 juta pengundi berusia dalam kelompok 18-20 tahun, mereka ibarat ‘king maker’ atau penentu jalan menuju ke Putrajaya.

Semua pihak menanti dengan penuh debar apakah implikasi yang bakal diterjemahkan melalui pindaan menurunkan had usia pengundi.

Adakah belia berusia 18 tahun cukup matang untuk membaca sepak terajang politik. Adakah mungkin ahli politik bebas masuk mengedarkan borang keahlian di sekolah? Paling penting, siapakah yang bakal menikmati bahagian kek paling besar?