Tidak salah meniru Siti Nurhaliza

Iklan
Siti Nurhaliza

SAYA terserempak dengan Datuk Seri Siti Nurhaliza pada majlis rumah terbuka Aidilfitri seorang menteri kanan di Putrajaya hujung minggu lalu.

Tidak syak lagi penyanyi tersohor negara itu adalah tumpuan utama beribu-ribu tetamu yang hadir; sebenarnya lebih diberi perhatian daripada tuan rumah sendiri.

Iklan
Iklan

Hatta tetamu-tetamu lain di meja VIP, termasuk antaranya Tun Daim Zainuddin pun tidak sangat diperhatikan berbanding pemilik suara emas itu.Itu tidak menghairankan sebab dari segi populariti dan pengaruh, Siti memang mengatasi ramai pemimpin politik, termasuk para menteri.

Kalau sebut RCI, ICERD, Rome Statute dan sebagainya ramai orang tidak tahu, malah tidak berminat pun. Tetapi sebut Jerat Percintaan semua orang – tanpa mengira usia, jantina – minat gila-gila.

Iklan

Dan Siti mempunyai lebih daripada sekadar Jerat Percintaan. Selama suku abad berkecimpung di dunia seni – bermula Bintang HMI RTM April 1995 – suaranya tidak pernah luput dari peminat.

Aku Cinta Padamu, Cindai, Purnama Merindu, Kau Kekasihku, Balqis, Percayalah, Nirmala, Bukan Cinta Biasa, Lagu Rindu, Biarlah Rahsia, dan banyak lagi, sampai kini menjadi siulan negara.

Iklan

Kalau bukan Siti penyanyi kita yang mana lagi berjaya mengabdi dan mengagungi seni sehingga mengumpul hampir 300 trofi anugerah dari dalam dan luar negara?

Kalau bukan dia, siapa yang telah menerbitkan 16 buah album studio, 2 album duet, 8 album konsert, 11 album kompilasi dan 250 lagu dan single?

Dan siapa artis, sekali gus usahawan yang memiliki aset-aset seperti Siti Nurhaliza Productions (media massa), SimplySiti (kosmetik) dan Creacion (fesyen)?

Dengan populariti dan suara yang sentiasa ‘ngetop’ itu Siti tetap Siti! Ketika sana-sini orang resah dan gelisah mengenai intergriti, Siti mengekal intergriti asalnya; bersopan, berperkerti mulia.

Dan dia tetap tidak sombong, tidak seperti kacang. Dia helang yang senang bergaul dengan pipit, bukan helang yang berdegar-degar menghina pipit.

Ketika saya minta bergambar dengannya, dia tidak menolak, cuma berkata penuh sopan:"Boleh uncle, tapi tunggu sekejap ya?”

Dia tidak mengenal saya pun – sebab sudah terlalu lama saya tidak bertemunya – tetapi sikapnya yang sedia bergambar dengan pipit uban di tengah-tengah ribuan manusia itu menyentuh perasaan saya.

Tidak dengan saya sahaja, ke mana dia bergerak sentiasa ada peminat yang berebut-rebut untuk berswafoto dengannya, dan dia tidak pernah menolak.

Malah beberapa kali saya mendengar dia berkata:"Dah dapat selfie dengan saya? Tak apa boleh ambil gambar dengan kita...”

Seorang superstar jutaan peminat bersedia dan gembira untuk diambil gambar dengan insan yang tidak dikenali pun. Maka saya hairan ada artis – juga ahli politik – yang keberatan malah marah-marah jika ada orang hendak bergambar dengannya.

Maka saya harap artis baharu, juga politikus dan menteri supaya mesra seperti Siti. Jangan ingat apabila sudah di puncak enggan bercampur dengan orang bawah.

Sesetengah orang biasa mungkin bersusah payah hendak berjumpa menteri. Terpaksa naik bas-turun bas, merayu dengan pengawal, merintih dengan pegawai, tetapi akhirnya diberitahu"YB mohon maaf, tidak dapat jumpa sebab dia ada mesyuarat!”

Atau, dalam sesetengah kes, pegawai menteri yang lebih menteri daripada menteri. Mereka patut selalu mendengar lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza!

Akhir kalam, pada usia 40 tahun, dan telah mempunyai seorang cahayamata - Siti Aafiyah, setahun tiga bulan – Siti masih cantik seperti ketika saya mula menemuinya di awal pelancaran Jerat Percintaan.

Majalah-majalah terbitan Karangkraf sedikit sebanyak turut mempromosi Siti.

Nota kaki: Saya tabik spring kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa @ ‘Datuk K’ yang sepanjang di rumah terbuka menteri itu sentiasa senyum dan sabar menyapa dan bersalaman dengan peminat isterinya.