BANGKOK - Seekor anak dugong bernama Mariam menjadi tumpuan di Thailand.
Mamalia berkenaan turut menarik minat ramai pihak yang terlibat dalam pemuliharaan laut.
Ditemui terkandas di pantai ketika berusia enam bulan, Mariam kini dijaga oleh pegawai taman laut, kumpulan pemuliharaan laut dan veterinar di Pusat Biologi Marin Phuket.
Mariam mula menjadi tumpuan selepas gambarnya dibalut dengan kain oleh veterinar menjadi tular di media sosial dan sejak itu Jabatan Sumber Marin dan Pantai Thailand sering memunat naik gambar perkembangan mamalia laut berkenaan.
Veterinar Pathompong Kongjit memberitahu AFP, Mariam yang kini tinggal di perairan sekitar pulau Ko Libong di wilayah Trang menjadi simbol kepada perlunya penjagaan kebersihan lautan daripada pencemaran plastik di perairan Thailand.
"Mariam mencetuskan minat dalam kalangan warga Thai untuk menjaga haiwan laut, perairan Thailand dan alam sekitar secara umumnya,” katanya.
Namun setakat ini, cabaran terbesarnya adalah untuk mencari makanan kerana ia sukar untuk menggali rumpai laut di dasar laut.
"Mariam hanya boleh makan rumpai laut yang menonjol,” katanya kepada AFP dan menambah keadaan mamalia itu semakin baik.
Dugong betina biasanya akan menyusu anak mereka ketika berenang, yang mana ia tidak mampu dilakukan oleh veterinar untuk membesarkan Mariam.
"Jadi kami terpaksa mendukungnya ketika memberi susu dan selepas itu kami perlu bawanya berenang untuk melatih sistem penghadamannya,” kata Pathompong.
Mereka turut melatih Mariam untuk menyesuaikan diri dalam habitat semula jadinya.
Perairan selatan Thailand menjadi habitat kira-kira 250 ekor dugong. – AFP