NILAI - Lapan individu masing-masing merupakan warga asing dan dua beranak rakyat tempatan ditahan menerusi operasi bersepadu ops warga asing dan pengemis di pasar malam Taman Semarak, Nilai semalam.
Pegawai Undang-undang dan Penguatkuasa Majlis Perbandaran Nilai (MPN) Mohd Shah Izad berkata, mereka ditahan ketika operasi tersebut dari jam 7.50 hingga 9 malam.
Menurutnya, operasi dilakukan susulan aduan orang ramai berhubung aktiviti warga asing yang berniaga secara haram sehingga menimbulkan rasa kurang senang penduduk sekitar.
"Tiga lelaki, dua perempuan dan seorang kanak kanak lelaki berusia empat tahun berjaya ditahan dalam operasi ini.
"Bagaimanapun, hasil semakan lanjut terhadap mereka didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan sah ke negara ini," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya lagi, dua beranak iaitu seorang wanita bersama anak perempuannya berusia lapan tahun pula ditahan kerana mengemis.
"Manakala lima tapak perniagaan haram turut diarah tutup serta merta dan operasi bersepadu seperti ini akan terus dijalankan dari masa ke semasa," katanya.
Mohd Shah berkata, warga asing yang ditahan berusia lingkungan empat tahun hingga 40-an telah diserahkan kepada Imigresen untuk tindakan susulan sementara itu dua beranak berkenaan ditahan sementara di bawah siasatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Operasi bersepadu ini melibatkan seramai 15 penguatkuasa Jabatan Imigresen Negeri Sembilan, 18 penguatkuasa MPN, tujuh kakitangan JKM dan Ahli Majlis Nilai.