NEW DELHI - Rahul Gandhi semalam meletak jawatan sebagai pemimpin parti pembangkang utama India, Parti Kongres ekoran kekalahan memalukan kali kedua dalam pilihan raya kepada Perdana Menteri Narendra Modi.
"Akauntabiliti adalah kritikal untuk perkembangan masa depan parti kita. Kerana sebab ini saya meletak jawatan sebagai Presiden Parti Kongres," kata Gandhi dalam kenyataan di laman Twitter rasminya.
Gandhi, 49, yang berhasrat menjadi generasi keempat dinasti Nehru-Gandhi memegang jawatan perdana menteri telah menjadi Presiden Parti Kongres sejak Disember tahun 2017.
Parti Kongres mendominasi politik India sejak kemerdekaan pada tahun 1948 namun ia mengalami penurunan sokongan sejak beberapa dekad lalu.
Sejurus kekalahan dalam pilihan raya umum bulan April hingga Mei lalu, Gandhi mengumumkan tidak akan menjadi ketua namun partinya berharap beliau mengubah fikiran dan pengumuman rasmi semalam mengejutkan ramai.
Parti Kongres hanya memenangi 52 daripada 543 kerusi yang dipertandingkan di Dewan Rendah Parlimen.
Sementara itu, Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Modi memenangi 303 kerusi sekali gus meningkatkan majoritinya dalam kemenangan penggal kelima untuk kali kedua berturut-turut.
"Membina semula parti memerlukan keputusan sukar dan beberapa orang harus bertanggungjawab untuk kekalahan pada tahun 2019," kata Gandhi.
"Adalah tidak adil untuk meletak tanggungjawab ke atas orang lain dan tidak menghiraukan tanggungjawab saya sendiri," katanya.
Gandhi menuduh BJP cuba 'memusnahkan negara' dan berikrar untuk 'melindungi' negara hingga ke nafas terakhirnya.
"Saya tidak berasa benci atau marah terhadap BJP namun saya menentang idea mereka tentang India," katanya. - AFP