Tiga beradik terabai diselamatkan JKM

Iklan
Salah seorang daripada tiga beradik yang dipercayai diabaikan ibu kandung sendiri setelah ditinggalkan lebih tiga hari bersendirian di sebuah rumah PAKR di daerah Hulu Terengganu sebelum diselamatkan JKM, semalam. Gambar kecil: Mohd Adli

HULU TERENGGANU - Tiga beradik berusia enam hingga 12 tahun yang terabai oleh ibu kandung sendiri berjaya diselamatkan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semalam.

Difahamkan, tiga beradik yang tinggal di satu perumahan awam kos rendah (PAKR) di daerah ini disyaki ditinggalkan bersendirian tanpa makanan serta sebarang pengawasan selama lebih daripada tiga hari.

Iklan
Iklan

Ibu mereka yang berusia 32 tahun dan berstatus sebagai ibu tunggal dikatakan telahpun 'melarikan diri' ke Kuala Lumpur mengikut teman lelaki sehingga tergamak membiarkan tiga anaknya itu terus terbiar di rumah.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superitendan Mohd Adli Mat Daud berkata, berdasarkan laporan, pada 3 Julai sekitar jam 10 pagi pengadu, 30, terima aduan orang awam berkaitan pengabaian kanak-kanak di sebuah rumah di kawasan PAKR.

Iklan

"Mangsa, kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bersama dua adik perempuannya berumur 8 dan 6 tahun disyaki telah ditinggalkan bersendirian tanpa pengawasan berpatutan yang boleh datangkan bahaya kepada mereka.

"Hasil lawatan pihak JKM ke rumah didiami tiga beradik ini, tidak menjumpai sebarang nota ditinggalkan suspek ( ibu kandung mangsa) semasa anak-anak itu ditinggalkan. Rumah itu adalah rumah disewa, pemilik sebenar tidak tinggal di perumahan tersebut.

Iklan

"Menurut saksi dalam kalangan jiran terdekat, tiga beradik ini dilihat berkeliaran pada waktu siang dan malam hari tanpa perlindungan orang dewasa serta makan minum. Tiga beradik ini tinggal bersama suspek setelah ibunya itu bercerai.

"Pengadu memaklumkan juga semasa kanak-kanak tersebut diambil dari rumah mereka tiada sebarang kecederaan atau kesan didera. Tiga beradik kini ditempatkan di Rumah Perlindungan Sinar Harapan di Kuala Terengganu selama 30 hari," katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Mohd Adli, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan usaha mengesan saspek yang dipercayai telah melarikan diri ke Kuala Lumpur mengikut teman lelaki setakat ini masih buntu.

Katanya lagi, kesemua mangsa akan dirujuk ke hospital untuk pemeriksaan dan berdasarkan laporan pengadu juga hanya kanak-kanak lelaki sahaja yang masih bersekolah tetapi punyai rekod kehadiran tidak memuaskan.

"Pengadu telah bertemu guru besar sekolah berkenaan mendapatkan rekod prestasi mangsa (usia 12 tahun), dua lagi kanak-kanak perempuan tersebut tidak bersekolah dan sekadar dibiarkan di rumah.

"Atas dasar keprihatinan komuniti setempat mereka ada memberi bantuan makanan serta duit hanya sekadar untuk membeli makanan harian sahaja. Bagaimanapun, suspek akan mengamuk jika ada orang kampung menolong anak-anaknya.

"Maklumat dari orang tempatan juga memberitahu pihak JKM bahawa suspek sentiasa bertukar lelaki. Penduduk juga tidak ketahui tentang cara atau bagaimana suspek membayar sewa tersebut sedangkan dia tidak bekerja," ujarnya.