SHAH ALAM - Jurucakap sebuah hotel di Sandakan, Sabah memaklumkan pihaknya mengetahui mengenai penyebaran satu klip video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai ada kaitan dengan video intim.
Penyebaran video CCTV semalam menghangatkan semula kes video intim melibatkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong dengan seoran lelaki mirip seorang menteri Kabinet.
"Kami maklum tentang rakaman video berkaitan kes yang didakwa melibatkan Haziq Abdullah dan lelaki mirip menteri itu dinaikkan ke YouTube,” kata jurucakap hotel tersebut seperti dilaporkan Free Malaysia Today.
Menurut laporan itu lagi, pihak hotel tidak dapat memberikan maklumat lanjut kerana sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dalam kes tersebut.
"Keselamatan dan kesejahteraan tetamu merupakan tanggungjawab pertama kami.
"Justeru, pihak hotel sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan tidak dapat memberikan maklumat lanjut,” katanya.
Video klip terbaru itu disebarkan beberapa jam sebelum PKR membuat keputusan Haziq disingkirkan daripada parti tersebut berkuat kuasa serta-merta.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR pecat Haziq serta-merta
Video yang tersebar semalam memaparkan rakaman dari beberapa sudut menunjukkan lobi lif serta koridor sebuah hotel.
Dalam rakaman sama, dua lelaki dilihat berulang-alik ke kawasan tersebut dan video tersebut mendakwa mereka ialah Haziq dan setiausaha politik kepada menteri tersebut.
Seorang lelaki berhud hitam juga kelihatan dalam video tersebut yang memasuki sebuah bilik dan keluar kira-kira 40 minit kemudian.
Begitupun, Sinar Harian masih belum dapat mengesahkan sama ada lelaki yang dipaparkan dalam video tersebut adalah Haziq dan setiausaha politik menteri seperti yang didakwa.