Pencemaran udara: Kerajaan ambil enam langkah tangani

Iklan
Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan mengambil enam langkah segera bagi menangani pencemaran di Pasir Gudang.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, kementerian akan memperkasakan pemantauan kualiti udara di Pasir Gudang dengan mewujudkan Stesen Pengawasan Gas Pencemar Toksik Otomatik (real time gas detector) melalui pembangunan stesen pengawasan udara.

Iklan
Iklan

"Yang kedua ialah pembelian alat pengukuran gas toksik bergerak seperti Gasmet untuk tujuan penguatkuasaan dan pemantauan, serta membangunkan sistem bagi menganalisis dan menentukan 'carrying capacity' udara di kawasan perindustrian Pasir Gudang," katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN- Pengerang) yang bertanyakan tentang tragedi berulang di Pasir Gudang dan apakah pelan kontigensi kementerian dalam memastikan tahap keselamatan penduduk sekitar berada dalam keadaan selamat.

Iklan

Tambahnya, memandangkan Pasir Gudang telah menjadi hub industri terpenting di Johor, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Cawangan Pasir Gudang juga akan diwujudkan bagi meningkatkan pengawal seliaan dan penguatkuasaan di kawasan berkenaan.

"Jabatan Alam Sekitar akan mewajibkan beberapa tindakan pematuhan baharu kepada premis industri di kawasan Pasir Gudang mewujudkan stesen pengawasan gas pencemar automatik di mana premis industri perlu memasang alat pemantauan pelepasan secara berterusan (Continous Emission Monitoring System - CEMS)," katanya.

Iklan

"Kementerian akan mengadakan program sekolah angkat oleh industri terutamanya untuk sekolah berisiko tinggi yang dekat dengan kilang kilang, di mana kemudahan seperti 'gas detector' dan 'air purifier' dibekalkan oleh pihak industri kepada sekolah angkat," katanya.

Mengulas situasi semasa yang berlaku di Pasir Gudang kini, Bee Yin berkata siasatan sehingga kini tidak dapat mengenalpasti punca khusus yang menyebabkan masalah gangguan kesihatan di Pasir Gudang.

Katanya, sejak insiden berlaku pada 20 Jun sehingga hari ini, sebanyak 172 premis industri telah diperiksa, dimana 98 kompaun telah dikeluarkan, 46 notis arahan dan 9 premis telah ditahan operasi.