DAVID BECKHAM bukan satu nama asing dalam arena sukan bola sepak. Ketangkasannya beraksi di atas padang cukup dikagumi pencinta sukan tersebut. Namun begitu, bekas pemain Manchester United itu bukan sahaja dianggap legenda kerana tendangan hebatnya malah, turut diangkat sebagai ikon fesyen antarabangsa.
Masakan tidak, suami kepada Victoria atau Posh Spice tersebut sentiasa tampil dalam busana segak dan stailo serta gaya rambut yang pelbagai. Jadi tidak hairanlah sebahagian besar lelaki di seantero dunia sentiasa memasang impian untuk menjadi seperti Beckham.
Justeru, enggan menghampakan para peminatnya, beliau memperkenalkan koleksi minyak wangi David Beckham. Direka khas oleh syarikat pereka minyak wangi mewah, Coty International (pembuat minyak wangi Gucci dan Hugo Boss) dan Beckham sendiri, wangian berkenaan hadir dalam empat aroma berbeza yang mencerminkan keperibadian beliau.
Selain Instinct, rangkaian minyak wangi David Beckham turut menampilkan aroma Homme, Respect dan Classic.
Menurut Pengurus Kanan Pemasaran Southeast Asia & Distributor Market, Jonathan Fu, wangian tersebut direka khas untuk memberikan inspirasi kepada kaum Adam supaya gigih dalam mengejar cita-cita dan impian serta berasa yakin dengan visi diri.
"Pemilihan tema, Suit Up bersesuaian dengan setiap haruman yang terdapat dalam rangkaian minyak wangi David Beckham.
"Ia dirangka bagi menggalakkan semua lelaki di Malaysia melihat ke dalam jiwa mereka cara yang terbaik meningkatkan keupayaan diri dari segi kerjaya, gaya, perhubungan ataupun sukan menerusi semburan David Beckham.
"Lagipun kejayaan seseorang lelaki bukan diukur dengan apa yang dimiliki sedia ada sebaliknya, perlu disusuli usaha dan semangat juang yang tinggi,” katanya pada Majlis Pelancaran Minyak Wangi David Beckham di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pada majlis tersebut tiga selebriti lelaki dan seorang usahawan tempatan diperkenalkan mewakili setiap satu aroma berkenaan.
Mereka ialah Azwan Kombos yang mewakili aroma Instinct, Ryzal Jaafar (Homme) dan Ikmal Amry (Respect) manakala usahawan, Faeez Fadhillah pula melambangkan haruman Classic.