22 sungai di Johor berada di kelas empat

Iklan
vb

JOHOR BAHRU - Terdapat 22 sungai di Johor berada di kelas empat mengikut rekod Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri sehingga September lepas.

Pengarah JAS negeri, Datuk Dr Mohammad Ezanni Mat Salleh berkata, berikutan itu pelbagai langkah akan diambil sebagai pencegahan terhadap sungai termasuklah Sungai Segget, Sungai Sebulung dan Sungai Plentong.

Iklan
Iklan

"Langkah pencegahan yang akan diambil antaranya mengetatkan syarat pelepasan effluen industri kepada Standard Pelepasan Standard A bermula pada 1 Januari depan dan perkara ini dimakluman Exco Kesihatan, Pertanian dan Alam Sekitar, Dr Sahruddin Jamal pada persidangan Dun Johor baru-baru ini.

"Selain itu, pihak JAS Johor akan melipat gandakan penguatkuasaan ke atas industri yang melepaskan effluen ke dalam sungai mengikut bidang kuasa JAS di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.

Iklan

Menurutnya, selain itu, agensi lain juga perlu memainkan peranan dengan mengenal pasti setiap pelepasan selain dari pelepasan effluen industri dan loji kumbahan.

"Ini termasuklah pelepasan air dari pasar awam, penternakan dan sampah sarap dapat di ambil perhatian serius sebagai memastikan beban pencemaran ke atas sungai tidak terus meningkat," katanya.

Iklan

Dr Mohammad Ezanni berkata, JAS juga akan memastikan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang dizahirkan menerusi pertemuan pada 30 Oktober lalu yang mahu kualiti air di negeri ini dipertingkatkan demi kesejahteraan rakyat Johor.

"Baginda menasihatkan bahawa syarat perlu diketatkan dan setiap industri yang melepaskan sisa mesti mematuhi tahap pengawalan yang diamalkan di peringkat antarabangsa untuk mengurangkan masalah pencemaran air dan menambah baik kelestarian alam sekitar," katanya.

Terdahulu, JAS mendedahkan senarai 51 sungai tercemar berdasarkan Laporan Kualiti Alam Sekeliling 2017.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Ahmad Kamarulnajuib Che Ibrahim berkata, 24 sungai berada di kelas tiga, 26 sungai kelas empat dan sebatang sungai di kelas lima.