KUALA LUMPUR - Rakyat akan menilai sejauh mana pendirian kerajaan untuk menunaikan janji manifesto mereka, kata Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian susulan soalannya tidak dijawab Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Liew Vui Keong berhubung pendirian kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam usaha melaksanakan pemindahan kuasa untuk melantik ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuan Malaysia (SPRM) kepada Parlimen dengan meminda Akta SPRM 2009 selaras dengan manifesto yang dijanjikan.
"Sebenarnya soalan saya tentang pendirian kerajaan PH dan garis masa adakah kita akan melakukannya (melaksanakan pemindahan kuasa untuk melantik ketua SPRM) atau tidak.
"Tapi tak apa, rakyat akan buat kesimpulan sendiri sama ada jawapan itu satu komitmen atau tidak,” katanya.
Vui Keong menerusi jawapannya di Dewan Rakyat berkata, pihaknya masih meneliti mekanisme yang sesuai untuk memindahkan kuasa pelantikan penjawat awam itu kepada Parlimen pada masa akan datang.
"Proses pelantikan jawatan utama (penjawat awam) ini pada masa depan telah dijalan dengan aktif untuk mengkaji mekanisme peranan komuniti pemilihan dalam perkara ini dan punca kuasa mereka dan bagaimanapun kita akan beri nama calon kepada pihak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC).
"Semua proses kita kenal pasti saya harap ini akan diperhalusi. Saya juga berjumpa speaker dan pihak kerajaan iaitu Perdana Menteri untuk mencari satu mekanisma untuk proses pindaan tersebut kepada Parlimen, saya harap ini dapat dijalankan pada tahun ini,” katanya.
Mengulas isu ketidakpuasan hati termasuk dari pemimpin kerajaan susulan pelantikan Latheefa Koya sebagai ketua pesuruhjaya SPRM dibuat tidak melalui persetujuan PSC, Vui Keong berkata, semua pihak perlu menghormati keputusan yang telah dipersetujui Yang di-Pertuan Agong.
"Memandangkan Agong telah berkenan dengan perlantikan Latheefa saya rasa kita sebagai rakyat kena hormat keputusan pelantikan tersebut,” katanya.