'Ayah sangat bertanggungjawab, penyayang'

Iklan
Lokasi Samnah dibunuh di Taman Seri Duyong Fasa 2, di sini semalam.

MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] "Dia seorang ayah yang sangat bertanggungjawab dan penyayang, kami juga tak ada sebarang masalah dengan ayah," kata anak kedua suspek kes tikam isteri di Taman Seri Duyong Fasa 2, Dazrin Mahat, 26.

Dazrin berkata, keperibadian ayahnya itu dapat dilihat apabila begitu bertanggungjawab menguruskan arwah ibunya Samnah Mohamed, 55, yang perlu menjalani rawatan dialisis akibat sakit buah pinggang sejak enam tahun lalu.

Iklan
Iklan

Menurut Dazrin, ayahnya yang juga pernah berkhidmat sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) begitu prihatin dan menjaga adik bongsu yang merupakan orang kurang upaya kategori lembam dengan penuh kasih sayang.

"Apa yang berlaku pada keluarga memang sangat mengejutkan kerana sikap ayah yang begitu baik dan penyayang kepada kami adik-beradik.

Iklan

"Malah sejak enam tahun lalu ayah yang menguruskan mak dan adik termasuk ketika mak menerima rawatan dialisis di sebuah klinik di Taman Cempaka, Peringgit," katanya.

Jelasnya, dia dan tiga beradik yang lain juga tidak pernah menyimpan sebarang dendam ataupun marah terhadap bapanya dan reda dengan kejadian yang menimpa mereka sekeluarga walaupun terpaksa menelan kepahitan kehilangan ibu tersayang.

Iklan

Menurutnya, dia turut meminta orang ramai terutama netizen tidak membuat sebarang andaian yang boleh menghiris hati mereka sekeluarga yang masih dalam kesedihan.

"Saya juga harap orang ramai bagi kerjasama dan tidak melulu membuat andaian yang tidak benar dan biarkan polis menyiasat dan menyelesaikan kes ini," katanya.

Difahamkan jenazah Samnah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Seri Duyong Fasa 1 di sini selepas selesai dibedah siasat hari ini.

Semalam Sinar Harian menyiarkan seorang suri rumah ditemui mati dipercayai dibunuh di Taman Seri Duyong Fasa 2, di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian lebih kurang jam 10 pagi mangsa Samnah Mohamed,55, yang lengkap berpakaian ditemui terlentang dihadapan pekarangan rumahnya yang didiami bersama anak bongsunya berusia 25 tahun dan suaminya Mahat, 56.

ARTIKEL BERKAITAN: Suri rumah maut ditikamm suami