SHAH ALAM - Polis menahan 151 penagih dan pengedar dadah dalam Op Sarang yang dilakukan di 14 daerah di Selangor semalam.
Operasi dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) melibatkan Kuala Langat, Kajang, Subang Jaya, Klang Selatan, Klang Utara, Sepang, Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Ampang, Shah Alam, Sungai Buloh, Petaling Jaya dan Sabak Bernam.
Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner R Sundralingam berkata, Ops Sarang yang dijalankan bermula jam 6 pagi melibatkan kekuatan 18 pegawai dan 149 anggota itu telah menjalankan pemeriksaan terhadap seramai 152 individu.
"Hasil pemeriksaan telah menahan 151 individu berusia 23 hingga 55 tahun termasuk dua wanita kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah di bawah pelbagai kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Siasatan juga mendapati seramai 11 orang dikenal pasti sebagai 'pengedar jalanan' dan akan disiasat mengikut Akta Dadah Berbahaya Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985," katanya pada Sinar Harian hari ini.
Sundralingam berkata, dalam operasi itu juga, polis merampas dadah syabu seberat 16.59 gram, heroin (177.85 gram), ganja (43.04 gram), air ketum (12.9 gram), daun ketum (800 gram) dan pil eramin 5 (800 gram) yang kesemuanya bernilai kira-kira RM30,000.
Mengulas lanjut, semasa serbuan, berlaku aksi mengejar dan bergelut dengan suspek yang cuba melepaskan diri.
"Mereka ini menjadikan kawasan kebun kelapa sawit, kawasan semak di tepi landasan kereta api sebagai tempat untuk melepaskan gian," katanya.
Tegasnya, operasi ini akan diteruskan dalam usaha polis untuk membanteras dan membendung kegiatan pengedaran dan penagihan dadah khususnya di Selangor.
Kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 Dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1985.