KOM jangan bazir masa dapatkan khidmat Harun: Zaki

Iklan
Zaki Sadri

KUALA LUMPUR - Kurang dari empat bulan menjelang temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, Kesatuan Olahraga Amatur (KOM) digesa jangan membazir masa untuk menagih khidmat Harun Rasheed sebagai jurulatih pecut kebangsaan.

Pengarah Kejurulatihan skuad olahraga Sukma Terengganu, Zaki Sadri berkata dalam tempoh masa yang semakin singkat, kesatuan di bawah kepimpinan baharu sepatutnya mendapatkan khidmat segera daripada jurulatih tempatan yang berpotensi untuk membimbing skuad pecut negara.

Iklan
Iklan

Jelasnya, jika KOM tetap mahu menunggu kehadiran bekas jurulatih kebangsaan itu, pihak persatuan harus mengambil kira proses atau prosedur yang mungkin memakan masa sebelum mendapat maklum balas daripada Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF).

"Memandangkan Sukan SEA tidak lama saja lagi, daripada hendak buat rayuan kepada IAAF untuk dapatkan khidmat Harun, pada saya itu tidak relevan, jangan buang masa. Ramai lagi jurulatih tempatan yang berpotensi, yang jauh lebih muda, lebih segar untuk membimbing atlet.

Iklan

"Saya tidak rasa kita ketandusan jurulatih tempatan yang berpotensi, ada hasil seperti Nazmizan (Muhammad), Hamberi (Mahat) dan banyak lagi. Kalau diberi peluang, saya tidak rasa mereka akan menolak.

"Pada pendapat saya, buat masa ini, Harun tidak relevan, tapi jika untuk jangka masa panjang, selepas beliau tamat hukuman, itu kita cerita lain, mungkin sesuai," katanya ketika dihubungi Bernama.

Iklan

Selain mendapatkan jurulatih baharu, Zaki yang diberi gelaran 'Kijang Emas' negara itu menegaskan adalah lebih baik jika atlet dan jurulatih sedia ada, seperti ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli terus berlatih bersama jurulatihnya M. Balamurugan.

Katanya, jika berlaku pertukaran jurulatih pada saat akhir, dikhuatiri ia boleh menjejaskan persiapan dan juga tumpuan atlet itu sama ada dalam latihan mahupun ketika hari pertandingan kelak.

"Zaidatul Husniah sudah lama berlatih dengan coach Bala dan kalau tiba-tiba bertukar, mungkin rasa tidak selesa dan tidak seronok. Semua orang tahu, setiap jurulatih pasti ada cara tersendiri.

"Dalam masa yang singkat jika Harun datang (diberi kebebasan oleh IAAF untuk melatih), sudah pasti dia akan datang dengan cara sendiri. Hendak ubah tiba-tiba mungkin boleh jejas atlet," katanya yang menegaskan persetujuan atlet juga perlu diambil kira.

Dalam pada itu, Zaki berkata jika betul KOM mahu meneruskan hasrat mendapatkan khidmat Harun, beliau berkata:"Saya harap dia (Harun) betul-betul bersedia".

Presiden KOM yang baharu, Datuk S. Muthu sebelum ini berkata mahu melantik Harun yang masih menjalani hukuman penggantungan, sebagai jurulatih kebangsaan.

Susulan itu, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) menasihatkan supaya KOM mengemukakan rayuan kepada IAAF dan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) terlebih dahulu untuk mengurangkan hukuman itu, yang masih berbaki dua tahun sebelum melantik Harun.

Untuk rekod, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) pada 2011 menjatuhkan hukuman penggantungan 10 tahun kepada bekas jurulatih pecut kebangsaan itu atas dakwaan terlibat dalam isu enam atlet negara melarikan diri daripada ujian doping.- Bernama