SEPANG - Malaysia dijangka menerima berita baik berhubung rayuan penambahan kuota haji untuk tahun ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, pengumuman berkaitan perkara itu akan dilakukan selepas mendapat maklumat rasmi dari kerajaan Arab Saudi.
"Alhamdulillah kita sudah berunding dan saya dengar ada berita baik. Positif.
"Saya tidak akan mengecewakan jemaah dan kita akan berbincang dari sudut teknikal dengan Tabung Haji (TH),” katanya pada sidang media selepas perasmian Makkah Route Initiatives, di sini hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia rayu tambahan 10,000 kuota haji daripada Arab Saudi
Mahkamah putuskan kemenangan Tok Mat terbatal
Sementara itu, mengulas lanjut mengenai program Makkah Route, beliau berkata, ia memberi manfaat dengan memudahkan dan mempercepatkan urusan ‘kemasukan’ jemaah haji negara ini ke Arab Saudi.
"Melalui program ini para jemaah hanya perlu melakukan pemeriksaan pasport di Imigresen Malaysia dan terus menuju ke laluan khas Imigresen Arab Saudi untuk melalui proses pra pelepasan menggunakan teknologi imbasan wajah dan pengesan cap jari.
"Setibanya di Madinah jemaah akan terus menaiki bas ke hotel penginapan tanpa perlu berurusan lagi dengan Imigresen Arab Saudi kerana ia telah dilakukan di KLIA,” katanya.
Pada masa sama, Mujahid menyifatkan kejayaan kerjasama itu dicapai kerana hubungan baik yang terjalin antara dua negara.
"Program ini satu perkhidmatan yang boleh dikatakan sebagai VIP kerana para jemaah tidak perlu lagi bersusah payah menunggu lama untuk beratur panjang.
"Ini sekaligus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan hari ini tidak menjaga hubungan baik dengan Arab Saudi. Alhamdulillah Arab Saudi mempercayai usaha yang kita lakukan,” katanya.