KUALA LUMPUR - Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sarawak menganggap pemecatan Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz adalah mesej jelas buat semua ahli agar menghormati dan mematuhi peraturan parti.
Ketuanya, Saifunnizam Sam berkata, AMK Sarawak sentiasa mendukung aspirasi parti untuk tidak bertolak ansur dengan sebarang jenis kesalahan dan tindakan yang boleh menjejaskan nama baik dan kod etika parti.
"Kami menganggap ini sebagai mesej jelas daripada parti agar setiap ahli harus menghormati serta mematuhi peraturan dan disiplin parti.
"Dalam pada itu, AMK Sarawak berharap agar semua pihak dapat terus komited serta fokus dalam merealisasikan agenda reformasi, berusaha meningkatkan ekonomi negara dan membangunkan kebajikan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: PKR pecat Haziq serta-merta
Semalam, Pengerusi Lembaga Displin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Ahmad Kasim berkata, mesyuarat biro politik sebulat suara memecat Haziq Abdullah.
Menurutnya, lelaki berusia 27 tahun itu didapati telah melanggar tatacara disiplin parti berdasarkan tuduhan rasuah secara terbuka dan tanpa bukti serta kes yang masih dalam siasatan polis.
"Surat berkaitan perkara itu akan dikeluarkan secepat mungkin dan diserahkan kepada Haziq," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya, malam tadi.
Sidang media tersebut turut dihadiri Presiden PKR, Datuk seri Anwar Ibrahim dan Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin.
Haziq Abdullah membuat pengakuan mengejutkan baru-baru ini apabila mendakwa dia merupakan salah seorang lelaki dalam video intim mirip seorang menteri kanan yang tular.
Lelaki tersebut turut menamakan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali berada dalam video berkenaan.
Begitupun, Mohammed Azmin menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan menganggap ia adalah komplot jahat untuk menjatuhkan karier politiknya.
Disebabkan pengakuan terbuka itu, beberapa anggota parti mendesak supaya dia dipecat dan antara yang paling lantang menyuarakannya ialah Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.