TANGISAN bayi tanpa mengira masa benar-benar membuatkan ibu bapa rasa tertekan. Bukan sahaja mereka malah orang sekeliling juga rasa tidak selesa lebih-lebih lagi kalau tangisan si kecil itu kuat.
Tambahan lagi, ia berlaku pada awal pagi ketika masing-masing lena diulit mimpi. Sebagai ibu bapa, kita wajib ambil tahu apakah sebab-sebab yang mendorong bayi kerap menangis? Seterusnya, ambil langkah yang sewajarnya agar tangisan itu dapat dihentikan.
Dalam Tip Famili kali ini, Famili Femina kongsikan 10 cara signifikan buat ibu bapa untuk meredakan bayi daripada terus mengalirkan air mata.
1) Buat urutan
Urut bayi secara perlahan-lahan dan penuh kasih sayang pada bahagian kaki dan badannya tatkala si kecil mula menangis. Cara itu mungkin boleh meredakan tangisannya.
2) Hirup udara segar
Sesekali bawa bayi keluar untuk menikmati udara segar. Contohnya, bawa pusing di sekitar kediaman dan taman permainan berdekatan rumah anda.
3) Mandikan dengan air suam atau hangat
Ketika bayi menangis, cuba legakan tangisannya dengan menjirus air hangat atau suam pada badannya. Mungkin dengan cara mandian sebegitu boleh menghentikan tangisannya.
4) Wujudkan suasana bising
Suasana yang sunyi mungkin membuatkan bayi menangis. Jadi, cuba wujudkan suasana bising dalam rumah melalui bunyi pengering rambut, vakum, pengisar dan sebagainya.
5) Peluk atau bedung
Bila bayi menangis, peluk dan dakap dengan penuh kasih sayang sambil menepuk-nepuk pahanya. Jika masih menangis, cuba bedung kerana si comel mungkin merasa lebih selesa.
6) Letak jari ke mulut
Jika bayi tidak berhenti menangis, cuba letak jari anda ke mulutnya. Sebelum itu, pastikan jari anda bersih. Pun begitu, jangan lakukan cara itu sebagai amalan harian.
7) Bawa menaiki kenderaan
Ada segelintir bayi akan berhenti menangis tatkala dibawa menaiki kenderaan. Bayi akan rasa gembira hingga tertidur seolah-oleh berada dalam buaian.
8) Pasang muzik
Cuba mainkan muzik lembut yang mendamaikan ketika bayi menangis. Mungkin alunan muzik akan memberi ketenangan kepadanya sekali gus berhenti menangis.
9) Tepuk badannya selalu
Segelintir bayi sebenarnya perlukan perhatian disebabkan itu si kecil menangis. Cuba tepuk bahagian badannya sambil berselawat atau menyanyi lagu kanak-kanak anda sewaktu kecil.
10) Dodoikan
Dodoi bayi atau gerakkan buaiannya sebagai tanda anda berada di sisinya ketika itu. Bayi selalunya menangis bila tiada ibu atau bapa di sisinya.