KUANTAN - Seorang suri rumah berdepan masalah berganda apabila ada pihak mengambil kesempatan terhadap kes suaminya yang ditahan polis atas kesalahan membawa pendatang asing 26 Jun lalu.
Wanita berusia 24 tahun itu mendakwa dihubungi seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai anggota polis sebelum meminta bayaran RM5,000 kononnya atas arahan pegawai penyiasat bagi membantu melepaskan suaminya dari tahanan.
Iklan
Iklan
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa yang ingin membantu suaminya akur dengan arahan itu lalu membuat bayaran seperti diminta melalui sebuah akaun bank.
Menurutnya, selepas membuat bayaran, wanita terbabit memaklumkan kepada pegawai penyiasat kes suaminya namun pegawai terbabit menafikan dan tidak pernah meminta wang seperti didakwa.
"Mangsa syak dia ditipu pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kes suaminya lalu membuat laporan polis semalam.
"Kita percaya suspek menyamar sebagai pegawai polis sebagai modus operandi untuk memperdaya mangsa menyerahkan wang kononnya untuk tujuan membebaskan suaminya sehingga kerugian RM5,000,” katanya.
Mohd Wazir berkata, pihaknya membuka kertas siasatan kes tersebut dan disiasat mengikut seksyen 420 Kanun Keseksaan.