KUALA LUMPUR - Semua cendekiawan Melayu sewajarnya bergerak bersama dalam menyuarakan suara berkaitan kepentingan orang Melayu di Malaysia.
Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, MPM sedia menjadi penggerak untuk menyatukan semuanya sekaligus menjadi medium untuk mereka menyuarakan pandangan.
"Pesara banyak bercakap di luar tapi mereka tiada medium sebaiknya untuk bersuara secara kolektif. Mereka ada idea tapi tiada medium untuk menyuarakannya.
"Kita (orang Melayu) ada banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tapi agak kurang yang benar-benar agresif. Kita ada NGO tapi kecil, andainya ada secara kolektif, banyak benda kita boleh bantu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika menghadiri Perhimpunan Komuniti Cendekiawan di Wisma MPM, di sini pagi tadi.
Tambah Hasan, perkara utama yang perlu dilakukan sekarang adalah untuk menyediakan platform sebelum membincangkan dua isu pokok, penyatuan dan kemakmuran orang Melayu.
"Kita menggerakkan tujuh komuniti iaitu hal ehwal Islam; ekonomi; pendidikan; perlembagaan; keselamatan; tanah simpanan Melayu dan kepimpinan. Semuanya bersatu menyuarakan pendapat masing-masing.
"Andainya ada isu berkaitan perlembagaan, kita serahkan kepada mereka yang pakar. Begitu juga dengan isu lain, kita kumpulkan mereka di bawah satu platform,” ujarnya.
Katanya lagi, gerakan sebegitu adalah penting terutamanya dalam menyatukan orang Melayu dan antara medium boleh dipraktikkan adalah melalui ekonomi.
"Mengambil contoh masjid di Damascus, Syria, masjid di sana menjadi salah satu elemen perniagaan. Mereka berniaga di kawasan masjid dan tibanya waktu solat, mereka solat berjemaah.
"Di Malaysia, perkara sebegitu tidak berlaku. Jadi kita cuba melihat dan usahakan bagaimana elemen ekonomi dapat membantu menyatukan orang Melayu,” katanya.