SITIAWAN - Tindakan undang-undang akan diambil terhadap salah sebuah syarikat minyak dan gas di Kampung Acheh sekiranya didapati melanggar Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 hingga menyebabkan salah seorang pekerja maut semalam.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, siasatan awal yang dijalankan mendapati syarikat berkenaan gagal mengadakan prosedur kerja selamat hingga menyebabkan seorang pekerjanya maut dihempap 'saddle bottom' seberat satu tan.
"Kita juga mendapati majikan turut gagal mengadakan penaksiran risiko untuk kerja-kerja mengangkat secara manual saddle bottom bagi tujuan pemasangan pada jacket pelantar minyak.
"Oleh itu, pihak JKKP Perak telah mengeluarkan dua notis larangan kepada syarikat ini selain memberhentikan sementara pemasangan jacket bagi pelantar minyak yang terlibat," katanya kepada pemberita selepas hadir di kilang berkenaan, di Kampung Acheh, di sini petang tadi.
Tambahnya dua notis yang dikeluarkan JKPP Perak adalah notis gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi kerja mengangkat secara manual dan notis gagal menjalankan penaksiran risiko bagi aktiviti tersebut.
Menurut Zamzurin, kemalangan itu berlaku sekitar jam 3.35 petang semalam ketika lelaki berusia 29 tahun yang berasal dari Sabah itu sedang melakukan kerja pemasangan saddle bottom bagi jacket pelantar minyak menggunakan 'webbing sling'.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki maut dihempap besi satu tan
"Ketika kejadian webbing sling yang digunakan mangsa untuk memasang jacket pelantar minyak tersebut terputus semasa melakukan kerja kimpalan dan dihempap besi seberat satu tan dibahagian badan.
"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja mahupun orang awam dan mengingatkan majikan bahawa mereka bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya ditempat kerja," katanya.
Katanya, kejadian seumpama ini boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam garis panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).