KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) memaklumkan minuman bancuhan yang dipesan di restoran dan kedai makanan tidak dikenakan cukai minuman bergula.
Menerusi bahagian Soalan Lazim dalam laman web jabatan tersebut, minuman yang dikenakan Duti Eksais ialah minuman yang mengandungi kandungan gula melebihi dari nilai ambang (threshold) yang ditetapkan dan sedia untuk diminum.
"Minuman yang sedia untuk diminum (ready to drink) adalah bermaksud minuman tersebut sedia untuk diminum tanpa melalui proses seterusnya seperti pembancuhan, pemanasan dan sebagainya tanpa mengambil kira bentuk pembungkusannya.
"Terdapat dua keadaan di mana duti eksais dikecualikan iaitu minuman bergula yang mengandungi kandungan gula sama atau di bawah dari nilai ambang kandungan gula dan minuman yang tidak sedia untuk diminum (perlu dibancuh),” katanya.
Menurut maklumat dalam laman web tersebut, Duti Eksais kepada minuman bergula dikenakan untuk mengurangkan masalah kesihatan terutamanya masalah obesiti dan penyakit tidak berjangkit dalam kalangan rakyat Malaysia.
Menurutnya, cukai tersebut hendaklah dibayar oleh pengimport dan juga pengilang-pengilang tempatan yang menghasilkan minuman bergula.
"Duti eksais yang dikenakan ke atas minuman bergula adalah pada kadar spesifik RM0.40 untuk satu liter,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut, orang awam boleh melayari Portal Rasmi Jabatan Kastam Diraja Malaysia di http://www.customs.gov.my.
Mereka juga boleh menghubungi Pusat Panggilan Kastam di talian 1- 300- 88 - 8500 atau e-mel pertanyaan kepada ccc@customs.gov.my.