PEMBINAAN masjid yang cantik dan indah perlu difahami dengan konotasi jelas supaya matlamat asal untuk mengimarahkan rumah ALLAH itu tidak akan terpesong.
Sabda Rasulullah SAW:"Orang ramai bermegah-megah dalam membangunkan masjid, kemudian mereka tidak memakmurkannya kecuali hanya sedikit." (Riwayat al-Bukhari)
Pendakwah Senator Ustazah Asmak Husin berkata, paling penting, kecantikan masjid itu bukannya bertujuan untuk bermegah-megah, sekadar menunjukkan kuasa atau berlawan-lawan semata-mata sebagaimana dijelaskan dalam hadis itu.
"Pada saya, membina masjid yang cantik dan indah itu harus difahami dalam konteks yang jelas iaitu supaya orang rasa selesa untuk beribadah di dalamnya dan gembira datang ke masjid dengan kemudahan yang ada.
"Maka, disebabkan itu harus untuk kita membangunkan masjid yang indah dan cantik," katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.
Menurut Ustazah Asmak, fungsi masjid pada hari ini perlu diperkasakan agar berupaya menjadi nadi kepada komuniti Islam sebagaimana ketika zaman Rasulullah SAW.
"Untuk menjadi nadi umat Islam, masjid perlu menjadi pusat penyebaran ilmu, pusat aktiviti untuk semua lapisan masyarakat, pusat ekonomi dan mesra wanita serta kanak-kanak," katanya.
Sementara itu, tokoh agama, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid berkata, membesarkan rumah ALLAH merupakan antara tuntutan dalam agama Islam kerana ia menandakan masyarakat bersyukur kepada yang Maha Esa.