27 PATI berhimpit dalam bot pancung

Iklan
Mohd Zulfadli menunjukan bot pancung yang digunakan PATI berkenaan ketika ditahan malam tadi.

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) berjaya mematahkan cubaan penyeludupan 27 migran di Tanjung Ayam Pengerang malam tadi.

Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, tangkapan pada jam 11.40 malam itu melibatkan 20 lelaki dan tujuh perempuan warga Indonesia dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tekong.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tangkapan melibatkan mereka berumur lingkungan 26 hingga 63 tahun.

"Bertindak atas maklumat awam, sebuah bot dengan dua enjin sangkut dikesan bot ronda APMM Malaysia bergerak laju dengan keadaan mencurigakan pada jam lebih kurang 11 malam.

Iklan

"Bot panjang 12 meter yang tidak bernombor tersebut kemudiannya diarahkan untuk berhenti tetapi arahan tersebut tidak diendahkan malah terus memecut dengan laju.

"Setelah berlaku kejar mengejar selama lebih kurang setengah jam, bot pancung tersebut berjaya ditahan pada kedudukan 4.2 batu nautika Tenggara Tanjung Ayam, Pengerang pada jam lebih kurang 11.40 malam," katanya pada sidang media di Pejabat ZMTS hari ini.

Iklan

PATI yang ditahan di Tanjung Ayam, Pengerang malam tadi dibawa ke Pejabat ZMTS untuk proses reman.

Katanya, kesemua penumpang dan tekong gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri apabila diperiksa.

Beliau juga memaklumkan semasa proses tangkapan, tindakan terpaksa dibuat dengan amat berhati-hati kerana saiz bot yang amat kecil dengan migran yang beresak-esak di samping 'freeboard' yang terlalu rendah iaitu lebih kurang sejengkal dari aras air.

"Sekiranya berlaku sedikit kesilapan kecil semasa pelayaran bot tersebut, besar kemungkinan ianya boleh karam serta mengakibatkan kemalangan jiwa," katanya.

Tambahnya, kesemua migran disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 / 63 serta Akta Pemerdagagan Manusia dan Penyelupan Migran (ATIPSOM) 2007 iaitu cuba keluar atau masuk Malaysia melalui pintu yang tidak diwartakan serta menjalankan aktiviti penyeludupan migran.

Katanya, jika didapati bersalah suspek boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-dua sekali.

"APMM Malaysia sentiasa serius untuk memastikan keselamatan dan mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda di laut.

"Tangkapan pada kali ini merupakan tangkapan ke tujuh bagi ZMTS untuk tahun 2019 bagi kes seumpama ini. APMM Malaysia sekali lagi ingin menasihati kepada semua warga Indonesia yang ingin masuk atau keluar Malaysia agar menggunakan laluan yang sah tanpa perlu menggadai nyawa supaya kejadian tidak diingini dapat dielakkan," katanya.

Beliau juga menegaskan operasi berkenaan akan dipertingkatkan dari masa ke semasa bagi membendung dan membanteras aktiviti penyeludupan migran yang menggunakan laluan laut untuk keluar dan masuk.