BESUT - Seorang mekanik motosikal parah selepas ditetak dengan parang oleh seorang lelaki di bengkel miliknya di Jalan Tembila, Kampung Paya Rawa di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa yang berusia 61 tahun ditetak di kedua-dua belah tangan dan kaki ketika membaiki motosikal pelanggan.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, kejadian disedari isteri mangsa berusia 55 tahun yang berada dalam rumah selepas terdengar jeritan suaminya dari bengkel motosikal terletak di hadapan rumah mereka.
"Wanita itu yang keluar rumah kemudian mendapati suaminya berdarah pada bahagian anggota badan. Mangsa beritahu dia didatangi dua orang lelaki menaiki sebuah motosikal dan nombor pendaftaran gagal dicam.
"Pembonceng motosikal tersebut turun lalu datang ke arah mangsa sebelum menetak mangsa dengan kelewang,” katanya kepada media di sini.
Menurutnya, suspek yang memakai topi keledar dan menutup muka dengan kain terus melarikan diri bersama seorang lagi rakannya.
Menurutnya, mangsa juga tidak dapat mengecam kedua-dua suspek dan tidak pasti motif suspek bertindak sedemikian terhadapnya.
"Mangsa yang cedera parah di lengan kanan, luka di lengan kiri dan kaki kanan dibawa oleh isterinya ke Hospital Besut untuk mendapat rawatan.
"Usaha mengesan suspek sedang giat dilakukan dan kes disiasat menurut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatang kecederaan parah,” katanya.