JUARA Piala Tun Sharifah Rodziah (PTSR) bagi edisi 2018, Kedah bersedia untuk mempertahankan trofi tersebut pada musim 2019 apabila berjaya melangkah kaki ke peringkat separuh akhir.
Muncul pendahulu kumpulan dengan mengumpul 15 mata selepas lima menang dan satu tewas, pasukan dengan jolokan Red E'girl itu akan berdepan Selangor pada Sabtu ini di Stadium MMU, Cyberjaya pada jam 9 pagi.
Pengendalinya, Zulkifli Jaafar berkata, anak-anak buahnya berada pada tahap motivasi dan momentum yang baik bagi menghadapi Selangor untuk melayakkan diri ke pentas final buat kali ketiga berturut-turut.
"Di atas kertas, bertemu Selangor pada Sabtu ini memang berpihak kepada Kedah namun kami masih perlu berwaspada dan memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut.
"Berdasarkan statistik 'head to head' dengan Selangor sebelum ini, Kedah mempunyai kelebihan dari segi gol iaitu 15 gol berbanding selangor hanya 7 gol," katanya.
Menurutnya, pada peringkat kumpulan, Selangor tewas pada Kedah dengan keputusan 2-1 hasil jaringan Nur Izzati Zainol dan Malini Nordin.
Zulkifli berkata, beliau memuji kesungguhan semua pemainnya kerana berjaya mencapai sasaran untuk sampai ke peringkat separuh akhir pada musim ini walaupun diperkuatkan kira-kira 80 peratus muka baharu.
"Kedah musim ini sebenarnya dibarisi sebahagian besarnya ramai pemain-pemain baharu kerana pemain pada musim 2017 telah memilih untuk beraksi bersama skuad futsal Kedah dan ada juga beraksi dengan mewakili pasukan negeri lain," katanya.
Pada 2017, Red e'girl berjaya mara ke pentas akhir PTSR namun tewas kepada Sarawak dengan jaringan 1-0 namun mereka menebus kekecewaan tersebut dengan menewaskan Melaka 2-0 pada pentas final musim 2018.