Ekovest baik pulih padang sekolah

Iklan
Keng Cheng (dua dari kiri) membuat gimik penyerahan padang bersama Putri (dua dari kanan) sambil disaksikan Khalid dalam majlis tersebut.

SHAH ALAM - Penantian pihak pengurusan Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 19 selama 25 tahun bagi memiliki kemudahan padang sendiri berakhir selepas mendapat bantuan daripada sebuah syarikat korporat.

Melalui program khidmat sosial korporat (CSR), Ekovest Berhad telah memperuntukan sekitar RM225,000 bagi membaik pulih kemudahan padang di sekolah tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut pengetua sekolah berkenaan, Putri Roslawati Hashim berkata, sebelum ini, pihak sekolah terpaksa menyewa padang di lokasi lain sekiranya ingin menjalankan program atau aktiviti buat pelajar di sini.

"Padang sedia ada sebelum ini tidak dapat digunakan dengan sebaiknya oleh pelajar berikutan mengalami beberapa masalah antaranya keadaan yang berlopak dan sistem perparitan yang kurang baik.

Iklan

"Jika berlaku hujan, pelajar tidak dapat menggunakan padang dan terpaksa melakukan aktiviti lain sewaktu sesi Pendidikan Jasmani," katanya selepas Majlis Penyerahan Padang SMK Seksyen 19 hari ini.

Khalid merakamkan gambar bersama pelajar SMK Seksyen 19 selepas Majlis Penyerahan Padang hari ini.

Hadir sama sewaktu program berkenaan adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Pengarah Urusan Ekovest Berhad, Tan Sri Lim Keng Cheng.

Iklan

Mengulas lanjut, Putri berkata pihaknya berbesar hati di atas peruntukan yang disalurkan oleh pihak Ekovest Berhad yang membantu bagi membaik pulih kemudahan padang tersebut.

"Bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat membantu perkembangan pelajar bukan sahaja dalam aspek akademik malahan juga kokurikulum," katanya.

Dalam pada itu, Khalid berkata usaha yang dilakukan oleh pihak Ekovest Berhad ini sewajarnya dicontohi oleh syarikat-syarikat korporat lain sebagai salah satu program CSR mereka.

Tambah beliau, pihaknya percaya usaha yang dilakukan bagi menaik taraf padang berkenaan dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya oleh pelajar-pelajar sekolah tersebut.

"Seperti dimaklumkan oleh pengetua, banyak kejayaan telah dilakar oleh pelajar sekolah ini dalam bidang akademik dan kokurikulum. Jadi dengan adanya padang ini, ia dapat meningkatkan semangat mereka untuk lebih berjaya selepas ini," katanya.