KUALA NERUS - Nasib seorang tukang rumah di Tuan Mandak di sini dirundung malang apabila tidak mampu lagi untuk bekerja selepas menderita penyakit sendi lutut kronik sejak dua tahun lalu.
Harun Draman, 64, berkata, kehidupan dan masa depannya bergantung kepada tiga anaknya di mana dua daripada mereka hanya berniaga menjual air tebu dan seorang lagi sebagai pembantu kedai.
Iklan
Iklan
"Sudah lebih dua tahun saya tidak dapat melakukan apa apa pekerjaan akibat sakit lutut yang dihadapi. Tiada lagi sumber pendapatan sendiri melainkan hanya mengharapkan anak anak," katanya.
Sebelum itu, tukang rumah itu menerima lawatan Wan Yusrizal Wan Shafi’i yang mewakili Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang mengikuti persidangan Parlimen.
'Tangisan' Harun mendapat perhatian Khairuddin yang mewakilkan Wan Yusrizal menyerahkan bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan bagi mengurangkan penderitaan dihadapi Harun.
Sempena lawatan kali ini wakil Ahli Parlimen Kuala Nerus itu menziarahi tiga buah keluarga yang memerlukan perhatian akibat menghadapi masalah kesihatan di sekitar kawasan Tuan Mandak.