Musim durian tinggal 10 hari lagi?

Iklan
- Gambar hiasan sumber Wikipedia

GEORGE TOWN - Penggemar durian yang belum menikmati keenakan raja buah itu pada musim ini, anda mungkin perlu ke gerai-gerai terdekat pada kadar segera.

Ini kerana Jabatan Pertanian Pulau Pinang meramalkan musim raja buah itu bagi pertengahan tahun akan habis antara tujuh hingga 10 hari sahaja lagi.

Iklan
Iklan

"Kebanyakan durian yang diklon semuanya telah gugur dari pokok dan hanya D15 masih masak di pokok," kata pegawai pertanian, Ahmad Razali Abdul Razak memetik laporan The Star hari ini.

Walaupun orang ramai masih boleh mendapatkan beberapa jenis durian klon lain, beliau berkata, kualitinya sudah mulai menurun kerana nutrien pokok sedang menghasilkan batang-batang untuk musim depan.

Iklan

Kata Ahmad Razali, ini merupakan salah satu musim durian pertengahan tahun yang paling singkat.

"Tahun lepas adalah salah satu musim yang paling lama. Pada sebatang pokok, walaupun sebelahnya sudah berbuah, sebelah lagi masih sedang berbunga. Musim durian tahun lepas seolah-olah tidak berehat antara pertengahan dan akhir tahun ini," tambah Ahmad Razali.

Iklan

Beliau berkata, bagaimanapun musim durian bergantung kepada lokasi kebun contohnya di Pulau Pinang dan di Kedah mungkin terdapat perbezaan waktu buah gugur.

Bagaimanapun beliau menjangkakan perbezaan itu hanya kira-kira satu minggu.

Jabatan ini menyimpan rekod waktu sebenar musim durian melalui Taman Relau Agrotourism yang diusahakannya sendiri di Pulau Pinang.

Taman tersebut mempunyai lebih 220 pokok durian terdiri daripada 40 durian klon dan durian kampung yang kebanyakannya ditanam antara 1986 dan 1990.

Sementara itu, pengendali gerai Durian Hin Ang Hock Beng berkata, musim puncak durian di Pulau Pinang dijangka berakhir bulan depan.

"Jumlah durian yang dikeluarkan akan mula berkurang dari sekarang hingga Ogos apabila musim berakhir. Ini adalah musim berbuah kedua, jadi lebih sedikit durian akan dihasilkan.

"Kumpulan pertama dihasilkan tiga minggu lalu yang merupakan puncak musim durian," kata Hock Beng yang mempunyai gerai di Jalan Macalister di sini.