SHAH ALAM - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mahu menumpukan kepada dua agenda besar selepas kembali daripada bercuti.
Memetik tulisannya di Utusan Malaysia, Ahmad Zahid berkata, fokus utama beliau adalah merapatkan saf kepimpinan dan ahli serta merealisasikan agenda ta’awun siyasi UMNO dengan Pas.
"Agenda memperteguhkan saf terutamanya di peringkat kepimpinan tertinggi adalah kunci kepada keutuhan dan ketahanan UMNO bagi mengharungi gelora propaganda Pakatan Harapan (PH).
"Saya berkeyakinan dengan percaturan dan gerak kerja tersusun berdasarkan kepada kepakaran setiap pemimpin, UMNO mampu menghadapi apa jua halangan dalaman atau luaran,” katanya.
Katanya, gerak kerja lebih spesifik antara pimpinan tertinggi seperti Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Ketua Whip Pembangkang, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Perpaduan Ummah, Datuk Seri Khaled Nordin membuktikan parti itu serius melakukan transformasi.
"Pimpinan tertinggi parti menjadi penyelesaian kepada kemelut dan krisis yang timbul,” katanya.
Menurutnya, keresahan ummah pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mula terubat dengan usaha ta’awun siyasi antara UMNO dengan Pas.
"Walaupun dahulu ramai beranggapan ta’awun kedua parti terbesar orang Melayu adalah sesuatu yang hampir mustahil.
"Di sebalik penerimaan positif ta’awun ini, ada juga golongan kurang selesa dan merasa tergugat melihat kerjasama UMNO dengan Pas menuju realiti. Propaganda demi propaganda dicipta dan direka bagi meracuni pemikiran rakyat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ahmad Zahid umum kembali bertugas
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, walaupun berdepan dengan 87 pertuduhan di mahkamah, beliau tetap positif dengan ketentuan itu sebagai harga sebuah perjuangan.
"Saya akan menghadapinya secara peribadi tanpa melibatkan dan menjejaskan UMNO sebagai organisasi politik apatah lagi kepimpinan serta ahli parti,” katanya.
Beliau turut mendakwa PH akan terus melancarkan gerakan propaganda dan sabotaj bagi menggagalkan proses pengukuhan UMNO dan perpaduan ummah.
"Jangan pandangan kecil pada kilauan pangkat, kedudukan dan janji wang ringgit. Kebiasaannya sabotaj sebegini agak susah ditempuhi dan seringkali disambut sebahagian pejuang tanpa sedar.
"Matlamat dan keikhlasan berjuang menjadi benteng kukuh daripada ancaman gerakan sabotaj serta propaganda politik. Tanpa matlamat dan keikhlasan, lahirlah pejuang yang tiada arah tuju serta golongan was-was,” katanya.