Perhalusi pemilikan rumah mampu milik bagi pasangan muda

Iklan

PONTIAN - Kerajaan Johor akan memperhalusi prosedur pemilikan rumah mampu milik bagi pasangan berkelayakan yang baharu mendirikan rumah tangga.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata perkara ini akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan negeri pada Februari depan.

Iklan
Iklan

"Pasangan baharu berkahwin yang belum memiliki rumah, kita akan cuba usahakan untuk pemilikan Rumah Mampu Biaya (RMB),” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis Walimatul Urus Perdana di Dewan Jubli Intan, Pontian hari ini.

Aminolhuda berkata, usaha berkenaan merupakan salah satu langkah kerajaan negeri membantu golongan muda terutamanya dalam melangkah ke alam perkahwinan.

Iklan

"Kalau mereka memang berkelayakan dan mempunyai kemampuan, InsyaALLAH kita akan bantu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Aminolhuda berkata program walimatul perdana mula diterima masyarakat Melayu dan orang Islam.

Iklan

Seramai 18 pasangan pengantin selamat diijabkabulkan, dengan satu pasangan dari Negeri Sembilan turut menyertai majlis hari ini dengan bayaran paling minimum kepada pasangan iaitu RM1999.

"Ini satu bayaran yang paling baik untuk pasangan muda yang mungkin berdepan kekangan dari segi peruntukan untuk mendirikan rumah tangga,” katanya.

Beliau turut menggalakkan syarikat-syarikat swasta yang mahu bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk menganjurkan majlis sedemikian untuk membantu pekerja mereka yang mahu mendirikan rumah tangga.

Aminolhuda berkata, ini merupakan lanjutan dari kursus kahwin percuma yang ditawarkan kerajaan negeri dalam manifesto PRU14 lalu. - Bernama