Penganggur curi duit tabung masjid dipenjara 6 bulan

Iklan
Penganggur dikenakan penjara enam bulan selepas mengaku salah curi duit tabung masjid RM93.

IPOH - Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Ipoh di sini hari ini kerana mencuri duit tabung masjid berjumlah RM93.

Hukuman itu diputuskan Majistret Umzarul An-Nur Umar selepas tertuduh, Mohd Nor Azizi Mohd Nasir, 24, mengaku bersalah pertuduhan yang dibacakan jurubahasa.

Iklan
Iklan

Mohd Nor Azizi didakwa mencuri dan memiliki harta curi tabung masjid yang mengandungi not RM1 berjumlah RM93 kira-kira jam 8.30 malam di Masjid Jamek Medan Klebang Restu Chemor pada 1 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Iklan

Mahkamah kemudiannya menetapkan hukuman penjara enam bulan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 1 Julai 2019.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, EP Sittan.

Iklan

Mengikut fakta kes, perbuatan tertuduh disedari dua jemaah yang kemudian membawanya kepada pengerusi masjid dan melaporkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Pemeriksaan ke atas tertuduh menjumpai wang kertas yang tersimpan dalam poket baju.