IPOH - Seorang jurujual kereta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah dan menipu sebuah syarikat pemaju perumahan berjumlah RM49,000, tahun lalu.
Chong U Gene, 46, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Umzarul An-Nur Umar.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Syarikat Team Keris Berhad untuk memasukkan wang berjumlah RM9,000 ke dalam akaunnya untuk mendapatkan kelulusan permit pemasangan cermin gelap daripada Jabatan Pengangkutan Jalan pada jam 4.44 petang di RHB Bank, Persiaran Greenhill Ipoh, 27 Februari 2018.
Diah didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan boleh denda, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, U Gene didakwa melakukan pecah amanah dengan mengambil wang hasil jualan kereta jenis Mercedes Benz milik Syarikat Keris Properties Sdn Bhd berjumlah RM40,000.
Wang berkenaan diterima daripada Sahidah Atan, 69, di TKB Tower, Times Square, Jalan Sultan Nazrin Shah di sini pada 14 Mac 2018.
Atas kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Asmaniza Mohammad manakala tertuduh diwakili Peguam Sukhwinder Singh Sidhu dan Shassidaren Deva Sana Pathy.
Terdahulu, pihak pembelaan memohon supaya jaminan dikurangkan dengan alasan tertuduh menjaga ayah yang sudah tua dan ibu yang sakit kanser selain menyara isteri dan seorang anak berusia tujuh tahun.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Julai ini bagi sebutan semula kes.