KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada keterangan cukup bagi mengambil tindakan lanjut dalam kes dakwaan salah guna wang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
Katanya, agensi itu juga tidak menyiasat isu berkaitan penggunaan dana anak yatim Yapiem pada 2017 berjumlah RM1 juta bagi tujuan membayar yuran guaman pembantu bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"SPRM mendapati tiada keterangan yang mencukupi untuk diambil tindakan lanjut di bawah Akta SPRM 2009.
"Namun begitu, SPRM ada membuat siasatan berkaitan penggunaan wang Yapeim oleh seorang bekas ahli Lembaga Pemegang Amanah Yapeim untuk membayar kos guaman beliau,” katanya.
Semalam, Perdana Menteri, Dr Mahathir dalam satu kenyataan lisan di Parlimen mengatakan SPRM mendapati tiada keterangan cukup untuk mengambil tindakan lanjut dalam dakwaan salah guna wang Yapeim melibatkan pembantu Najib.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan Datuk Johari Abdul (PKR-Sungai Petani).
Mei lalu, sebanyak RM1 juta dana yang bertujuan untuk membantu anak-anak yatim didakwa disalahgunakan bagi membayar yuran guaman peguam yang juga pembantu kepada Najib pada tahun 2017.
Menurut laporan sebuah portal berita, ia membabitkan wang yang yang diamanahkan kepada Yapeim dan pembayaran itu dibuat secara berperingkat dan tanpa kelulusan lembaga pengarah Yapeim.