Guna helah kahwin warga tempatan!

Iklan
Antara yang ditahan dalam Ops Flora di sekitar Saujana Putra, Kuala Langat, semalam. (Gambar kecil, Azizan).

KUALA LANGAT - Berkahwin dengan warga tempatan sebagai jalan mudah bagi mendapatkan lesen perniagaan menguruskan kedai makan yang akhirnya dijadikan sebagai 'port' berkumpul warga Afrika.

Itu antara yang dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerusi serbuan di beberapa lokasi di sekitar Saujana Putra di sini semalam.

Iklan
Iklan

Serbuan Ops Flora secara bersepadu bersama Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat, Jabatan Imigresen Malaysia serta Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) dijalankan bermula jam 7.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, operasi ini bertindak susulan aduan daripada persatuan penduduk dan syarikat perumahan yang tidak selesa dengan suasana bising selain terdapat segelintir mereka ini menjadikan perumahan belum siap sebagai tempat berlindung.

Iklan

"Pemeriksaan dijalankan terhadap 80 individu dan hasilnya seramai 21 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk tujuh wanita berusia lingkungan 30 hingga 40-an ditahan.

"Pecahan tangkapan mendapati PATI ini terdiri daripada warga Nigeria (18), Afrika (1) dan Sudan (2)," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Iklan

Beliau berkata, Ops Flora yang tamat pada jam 4 pagi itu dilakukan di beberapa lokasi utama membabitkan hotel bajet, kedai makan serta kondominium.

Katanya, siasatan mendapati, rata-rata PATI ini bukannya penduduk di kawasan Saujana Putra, sebaliknya datang dari Cyberjaya, Puchong, Damansara, Shah Alam dan Klang.

"Kita ada mengesan beberapa buah kedai diusahakan oleh mereka. Semakan dibuat mendapati ia adalah milik warga tempatan yang telah berkahwin dengan warga Afrika. Apa yang dikenal pasti, warga tempatan itu memohon lesen kepada pihak berkuasa tempatan, tetapi perniagaan diusahakan oleh suaminya lelaki Afrika," katanya.

Tambah Azizan, antara aduan yang diterima adalah aktiviti mereka yang menimbulkan ketidakselesaan kepada masyarakat hingga mengganggu remaja perempuan. Malah ada laporan melibatkan warga Afrika ini dalam cubaan cabul serta melanggar peraturan trafik dengan memandu laju tanpa ikut peraturan.

"Mereka yang ditahan dikesan tiada dokumen pengenalan diri. Kita bimbang dengan lambakan mereka itu akan berlakunya kes-kes penipuan, dadah serta lain-lain," katanya.

Tegasnya, polis akan terus memantau perkara ini dan operasi akan terus dilaksanakan daripada semasa ke semasa dalam usaha membanteras PATI.