Berinteraksi dengan Asmaul Husna

Iklan
BERDOALAH dengan menyebut nama-nama ALLAH. -GAMBAR HIASAN.

ASMAUL Husna bukan sekadar menyebut 99 nama ALLAH yang Maha Agung tetapi ia menuntut kefahaman dan penghayatan untuk kita mengamalkannya, sekali gus menjiwai dan merasai setiap nama ALLAH untuk mendapat keredaan-Nya.

Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya ALLAH memiliki 99 nama. Jumlahnya 100, kurang satu nama. Sesiapa yang menghitung (menghafal) nama-nama itu, maka dia dijamin masuk syurga." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Pengurus Latihan Akademi Sinergi Sdn Bhd, Ustaz Mohd Harfiz Hamzah berkata, setiap nama ALLAH memberi kesan dalam kehidupan kita.

Iklan
Iklan

Ujar beliau, ada orang yang berzikir atas nama-nama ALLAH siang dan malam, tetapi tidak memahami maknanya, seterusnya tidak mendapat manfaat.

Abu Umar ath-Thalamanki menyatakan, antara ciri kesempurnaan pengetahuan seseorang terhadap asma-asma ALLAH dan sifat-sifat-Nya yang dengannya manusia berdoa dan menghafal Asmaul Husna berhak meraih apa yang dijanjikan Rasulullah SAW:

Iklan

1. Mengetahui asma-asma ALLAH dan sifat-sifat-Nya.

2. Mengetahui manfaat yang terkandung dalam setiap nama.

Iklan

3. Mengetahui hakikat yang ditunjukkan olehnya (Asmaul Husna).

"Siapa yang tidak mengetahui itu semua, maka dia bukan orang yang mengetahui makna setiap asma ALLAH dan juga tidak mendapat manfaat daripada makna yang terkandung dalam asma itu ketika menyebutnya," jelas Ustaz Mohd Harfiz pada program Unlock Limiting Belief: Teknik Interaksi Asmaul Husna di pejabat Kumpulan Media Karangkraf di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Hati-hati seru nama ALLAH

Jelas beliau lagi, secara fitrahnya, manusia mempunyai kekurangan dan kelemahan. Kita tidak mempunyai apa-apa kerana semuanya milik ALLAH.

Tambahnya, apabila kita mengenali ALLAH dan percaya kepada bantuan-Nya dengan melakukan kerja mengikut perintah ALLAH dan sunah Rasulullah SAW, masalah yang besar menjadi kecil.

"Perkara yang menghalang untuk buka kunci keyakinan diri apabila seseorang itu tidak percayakan ALLAH, tidak kenal diri dan tiada ilmu.

"Ulama berpesan agar berhati-hati dalam menyeru nama-nama ALLAH. Buatlah kerana ALLAH dan ikhlas dalam membaca, memahami, menghafal, menghayati. Kita terus belajar untuk mendekati ALLAH sehingga akhir hayat," katanya.

Ustaz Mohd Harfiz menambah, bertadabur Asmaul Husna boleh mengaitkan dengan masalah diri dan aplikasinya. Apabila berlaku cabaran dalam hidup, kita berinteraksi dengan nama-nama ALLAH berpandukan al-Quran dan hadis.

"Dari situ, kita melihat apa mesej daripada bertadabur nama ALLAH yang membina keyakinan diri, seterusnya melonjakkan potensi diri," katanya.

Ganjaran orang bersyukur

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sinergi Ikhlas, Fazrul Ismail berkongsi ilmu tentang ganjaran untuk mereka yang bersyukur.

Menurut beliau, Surah al-Fatihah ayat 1 bermula dengan bersyukur kepada ALLAH SWT. Orang yang banyak bersyukur akan diberi ganjaran berkali ganda daripada ALLAH SWT sepertimana dinyatakan menerusi firman-Nya dalam Surah Ibrahim, ayat 7.

"Hakikatnya, manusia mempunyai keyakinan yang terbatas. Oleh itu, kita memohon bantuan ALLAH untuk diberi hidayah dan nikmat-Nya. Surah Al-Baqarah ayat 1, Alif Lam Mim, menunjukkan kita tidak tahu, hanya ALLAH yang Maha Mengetahui.

"Dalam bersyukur, kadang-kadang kita menyebut 'tapi’. Untuk mengurangkan perkataan ‘tapi’ itu, hendaklah rujuk kepada panduan al-Quran," katanya.

ALLAH SWT berfirman:"Itulah kitab (al-Quran) tidak (ada) keraguan di dalamnya (sebagai) petunjuk bagi orang-orang bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 2)

Apapun, ujar Fazrul, formula paling penting untuk dijadikan panduan hidup ialah al-Quran. Perbanyakkan membaca al-Quran dan belajar Asmaul Husna dari segi perkataan dan perbuatan merupakan proses mendekatkan diri kepada ALLAH.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari https://www.facebook.com/akademisinergi/.