Pengarah syarikat berdepan tiga pertuduhan

Iklan
Chang Kok Kheong (kanan) keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh selepas didakwa atas tiga pertuduhan memperdaya bagi tujuan pembayaran deposit untuk projek kondominium pelajar yang tidak wujud, tujuh tahun lalu.

IPOH - Pengarah sebuah syarikat pemaju perumahan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas tiga pertuduhan memperdaya seorang lelaki dalam urusan bayaran deposit kondominium pelajar yang tidak wujud membabitkan jumlah RM300,000, tujuh tahun lalu.

Chang Kok Kheong, 60, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan selepas dibacakan di hadapan Majistret Nabihah Mohd Noor.

Iklan
Iklan

Bagi semua pertuduhan itu, tertuduh didakwa memperdaya mangsa, Low Chong Ban, 57, supaya mempercayai bahawa projek kondominium pelajar yang dibina atas tapak projek bernama Segi Enclave adalah wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan RM300,000 melalui tiga kad bank yang mana mangsa tidak akan menyerahkan wang berkenaan sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Iklan

Kesalahan itu dilakukan Pejabat Energizer Properties Sdn Bhd di Jalan Sultan Abdul Jalil Greentown pada 4 Oktober 2012.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Afiqah Izzati Mazlan manakala tertuduh diwakili Peguam Charan Singh.

Pihak pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan bagaimanapun terduduh merayu mahkamah membenarkan jaminan RM10,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan atas alasan pernah dituduh dan dikenakan jaminan RM15,000 bagi kes lain sebelum ini.

Majistret Nabihah kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi tiga pertuduhan dengan seorang penjamin yang juga ahli keluarga terdekat dan menetapkan 6 Ogos ini bagi sebutan semula kes.