Bas baharu terlalu mahal

Iklan
Izani Zakaria

MACHANG - Bukan sengaja tidak mahu membeli bas baharu namun harganya yang terlalu mahal menyebabkan kebanyakan pengusaha bas mengambil keputusan untuk menggunakan bas sedia ada untuk mengambil penumpang.

Timbalan Pengerusi Pengusaha Persatuan Bas Sekolah Kelantan, Izani Zakaria berkata, sebuah bas baharu boleh mencecah sehingga setengah juta ringgit.

Iklan
Iklan

Sedangkan katanya, pendapatan kebanyakan pengusaha bas hanya RM80 sehari, dengan komitmen bayaran ansuran bulanan sebanyak RM8,000 sebulan.

"Jika kerajaan dapat bagi subsidi kepada pengusaha bas untuk beli bas baharu, masalah ini dapat diselesaikan malah penggunaan bas lama dapat dikurangkan.

Iklan

"Saya juga berharap Kementerian Pengangkutan dapat memperkenalkan semula Skim Insurans Murid Sekolah sebagaimana dalam Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) atau kini Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ini kerana Izani berkata, menerusi skim itu, pampasan sehingga RM100,000 seorang akan meringankan beban sekiranya berlaku kemalangan ke atas pemandu mahupun penumpang.

Iklan

Dalam masa terdekat beliau berkata, pihaknya akan memanggil 131 pengusaha yang berdaftar dengan persatuan dan mendapatkan maklumat lanjut berhubung kejadian tersebut.

Katanya, beliau tidak mahu menuding jari pada mana-mana pihak namun berharap pengusaha, pemandu dan guru memainkan peranan dalam memastikan keselamatan penumpang terutama pelajar dititik beratkan.

"Kementerian Pendidikan perlu menguat kuasakan prosedur operasi standard (SOP) membabitkan guru pengiring dalam setiap program di luar kawasan sekolah.

"Ini kerana, pemandu perlu menumpu perhatian ketika memandu dan tidak mampu untuk mengawal keadaan penumpang terutama membabitkan pelajar,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Wan Muhammed Adam Mohd Suria, 12, maut digilis selepas terjatuh dari lantai bas yang berlubang pada jam 12.50 tengahari di Kampung Kandis, Pasir Puteh semalam.

Kanak-kanak tahun enam itu dikatakan bersama 30 murid dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Keluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris.

Kejadian dipercayai berlaku apabila Wan Muhammed Adam dan beberapa rakan berdiri di bahagian hadapan bas berdekatan tangga sebelum lantai bas itu 'jerlus' dan menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bas terlalu uzur, lantai reput-PDRM