Sindiket eksploitasi wanita jadi pekerja seks tumpas

Iklan
Antara tangkapan yang dibuat menerusi Op Pintas di ibu negara semalam.

KUALA LUMPUR - Kegiatan eksploitasi seks di ibu negara didalangi sekumpulan ahli sindiket warga tempatan dan Bangladesh berjaya dikesan polis selepas menggempur empat premis yang dipercayai dijadikan sarang pelacuran semalam.

Semua premis di Jalan Yap Ah Loy, Jalan Tun Tan Siew Sin, Jalan Hang Lekiu dan Lebuh Pudu di sini diserbu menerusi Op Pintas hasil maklumat diperoleh dan risikan dilakukan Unit Pencegahan Atipsom (D3) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

Iklan
Iklan

Risikan mendapati, sindiket itu menggunakan ejen dan pekerja dalam kalangan warga Bangladesh untuk menjalankan aktiviti pelacuran melibatkan mangsa terdiri daripada wanita tempatan selain dari Bangladesh dan Indonesia.

Ketua Penolong Pengarah (D3) Pencegahan/Atipsom, Senior Asisten Komisioner Fadil Marsus berkata, seramai 23 individu disyaki berperanan sebagai agen, penganjur serta penjaga premis ditahan dalam operasi yang bermula jam 10.40 pagi itu.

Iklan

"Tangkapan terdiri daripada lima lelaki tempatan, 17 warga Bangladesh termasuk dua wanita serta seorang lelaki Nepal. Dalam operasi ini juga, polis menyelamatkan 64 wanita berusia lingkungan 25 hingga 40-an yang dieksploitasi sebagai pekerja seks.

"Semakan mendapati mangsa terdiri daripada 12 wanita warga tempatan, 32 dari Bangladesh, India (13) dan Indonesia (tujuh). Polis turut merampas telefon bimbit, gel, kondom dan sejumlah wang tunai dipercayai hasil aktiviti eksploitasi seks," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Iklan
Antara mangsa eksploitasi seks diselamatkan dalam operasi Op Pintas di ibu negara semalam.

Menurutnya, setiap premis boleh menempatkan 15 hingga 20 orang mangsa wanita warga Bangladesh, Indonesia, India dan tempatan serta dikawal sekurang-kurangnya dua penjaga warga Bangladesh atau tempatan dalam satu masa.

"Modus operandi sindiket ialah premis dikawal sepenuhnya oleh ejen atau pekerja. Malah, ejen ini juga akan tinggal bersama mangsa di rumah yang disediakan ahli sindiket pemerdangan orang.

"Sasaran pelanggan adalah kalangan warga asing (Bangladesh, Pakistan, Nepal dan Indonesia). Sebahagian wanita yang dijadikan pekerja seks dikawal ejen setiap masa dan dihantar pulang ke rumah penampungan setelah selesai bekerja," katanya.

Fadil berkata, selain itu pergerakan mangsa dari rumah penampungan sentiasa dikawal menggunakan perkhidmatan Grab dan kenderaan ejen.

"Bayaran yang dikenakan kepada setiap pelanggan adalah mengikut usia pelacur iaitu sebanyak RM40 sehingga RM100, manakala bayaran sewaan bilik sebanyak RM20.

"Siasatan juga mendapati, kesemua pasport milik mangsa juga dipegang oleh ejen. Semasa berada di rumah penampungan mangsa tidak dibenarkan bebas dan waktu bekerja mereka dari jam 7 pagi hingga 8 malam setiap hari," katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007, Seksyen 12 Akta Pasport 1966, Akta Imigresen 1959/63, Peraturan 39b Peraturan-Peraturan Imigresen 1990 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.