ANAK kepada penyanyi legenda negara, Datuk Jamal Abdillah iaitu Osama Yamani, 18, memberitahu dia mewarisi bakat seni suara bapanya.
Kenyataan dibuat menerusi Instagram miliknya itu berkata, dia tidak meniru suara bapa bahkan percaya ia adalah kurniaan ALLAH.
"Bukan meniru tetapi darah yang mengalir adalah darah Jamal Abdillah.
"Suara aku tak sama macam beliau namun seakan-akan sama.
"Jadi, itu bukanlah meniru tapi ia adalah anugerah ALLAH juga pengganti bakat yang kualiti ayah aku di masa akan datang. Yang penting jujur ikhlas berjuang dalam seni,” tulisnya di IG.
Osama juga bersyukur kerana diberikan kelebihan dalam ilmu pengetahuan bidang muzik.
"Alhamdulillah ALLAH memberi aku bonus, bakat bermain alar muzik dan tahu sedikit sebanyak tentang ilmu muzik.
"Jangan hanya mengejar popular kerana ia tidak akan bertahan lama.
"Yang penting ikhlas dan jujur untuk memperjuangkan warisan seni ini,” katanya.
Dalam perkongsian sama, Osama turut mencoret betapa dia amat menyayangi Jamal yang dipanggil sebagai Baba termasuklah adiknya, Ahmad Zaki Yamani, 13.
"Aku sayang baba dan adik aku. Aku takkan pernah melupakan adik aku dan kami akan terus mewarisi bakat baba. Cuma bezanya berkualiti dan tidak sahaja,” luahnya lagi.
Terdahulu, Osama pernah mengiringi dan menghiburkan peminat bapanya ketika Konsert Duo Lagenda di Istana Budaya pada akhir Disembar tahun lalu menerusi segmen Rentas Zaman.