TUMPAT - Isu menyelesaikan 3.99 juta orang yang belum mendaftar pengundi patut diberi keutamaan kerajaan dengan melaksanakan segera pendaftaran automatik.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, angka itu lebih tinggi daripada jumlah pengundi yang diturunkan had umur dari 21 tahun kepada 18 tahun.
"Yang nak kejar umur 18 tahun cuma ada seramai 1.5 juta sahaja sedangkan yang patut diberi keutamaan adalah 3.99 juta orang yang belum mendaftar pengundi.
"Saya dimaklumkan jawapan rasmi daripada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) di Dewan Rakyat semalam terdapat 3.99 juta orang belum mendaftar sebagai pengundi.
"Dalam Pindaan Perlembagaan Persekutuan, kita sokong had umur layak mengundi diturunkan kepada umur 18 tahun tetapi ia mesti didaftarkan secara automatik," katanya kepada media di sini.
Sebelum itu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Tumpat di Dewan Tanjung Che Mas di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Zulkifli Abdullah; Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Wan Hanapi Wan Yakob; Ketua Pemuda UMNO Tumpat, Rosdi Razali; Ketua Puteri UMNO Tumpat, Maziyana Ahmad dan Ketua Wanita UMNO Bahagian Tumpat, Nik Noriza Nik Salleh.
Ahmad berkata, pendaftaran pengundi secara automatik menjadikan kerja lebih mudah kerana sebelum ini semua parti bersusah payah mencari pengundi untuk didaftarkan.
"Sekarang orang UMNO cari pengundi, orang Pas cari pengundi, orang DAP pun cari, kenapa kita perlu buat begitu, kenapa susah payah, kalau automatik (pendaftaran) itukan lebih mudah,” katanya.