Pak Wan cipta rekod baharu kelima MBOR

Iklan
Pak Wan (tengah) disambut ibu, isteri dan cucunya didepan rumahnya di Telipot di sini.

KOTA BHARU - Hanya 14 hari sahaja, akhirnya Wan Hashim Wan Mahmood atau Pak Wan, 73, berjaya mencipta nama dalam Malaysia Book of Records (MBOR) untuk kali kelima setelah menamatkan kayuhannya mengelilingi Semenanjung Malaysia sejak 22 Jun lalu.

Pak Wan kini mencipta rekod baharu MBOR iaitu The Faster Senior Citizen To Cycle Solo Around Peninsular Malaysia dengan jarak 2,277km melibatkan tempoh masa hanya 14 hari mengatasi jadual asal iaitu 15 hingga 20 hari.

Iklan
Iklan

Bapa kepada enam cahaya mata, 20 cucu dan seorang cicit ini menempuh pelbagai halangan untuk melalui Takbai, Patani, Haadyai, Padang Besar, Kuala Lumpur, Tanjong Piai, Kota Tinggi dan seterusnya Kota Bharu.

Beliau tiba di kediamannya di Telipot jam 5.15 petang ini dan disambut ibu, Che Asmah Ahmad, 86 tahun dan Faridah Daud, 68 tahun serta anak-anak dan cucu.

Iklan

Turut hadir, Timbalan Presiden Kelab Media Kelantan Darulnaim (KEMUDI), Shahnum Hanif Abdullah Suhaimi dan Ketua Biro Bernama Kelantan, Zabidi Ishar.

Ketika ditanya mengenai perasaannya, beliau berkata, tiada apa paling menggembirakan beliau apabila tiba di rumah dan melihat wajah keluarganya kerana ketakutan yang dialami selama berkayuh hilang sekelip mata.

Iklan
Pak Wan memegang plag hadiah penghargaan dan tahniah daripada pihak Kemudi.

"Pak Wan tidak dapat nak gambarkan macam mana ketakutan yang Pak Wan terpaksa alami. Tambahan pula kali ini Pak Wan mengambil keputusan untuk mencabar diri berkayuh pada waktu malam dan melalui beberapa jalan yang dianggap landasan maut.

"Pak Wan masih ingat lagi, laluan yang paling mencabar adalah perjalanan dari Endau ke Mersing kira-kira 40km. Memang Pak Wan hanya mampu istighfar sepanjang jalan, gelap dan dilalui lori-lori besar yang sememangnya laju.

"Inilah perasaan takut yang Pak Wan terpaksa lalui dalam misi kali ini kerana perjalanan malam bukanlah sama dengan siang, walaupun malam tidak panas dan tidak banyak kenderaan," katanya.

Pak Wan juga memberitahu, walaupun begitu, hajatnya untuk menjadi medium bagi membuka mata masyarakat supaya mendapatkan maklumat tepat dapat dilaksanakan sebaik mungkin melibatkan semua kawasan yang beliau berhenti.

"Pak Wan jumpa ramai orang dan tanya mereka bagaimana mereka mendapatkan maklumat dan masing-masing bercerita yang mereka suka dapatkan berita melalui media sosial Facebook dan sebagainya.

"Pak Wan bawa mesej supaya mereka lebih mengutamakan media cetak dan eletronik supaya mereka tidak terdedah dengan fitnah dan silap fakta.

"Alhamdulilah, Pak Wan berjaya membantu Kemudi dalam hal ini dan kebanyakkan mereka pun sudah mula buka mata tentang kepentingan memilih fakta yang betul dari sumber yang sah," katanya.

Pak Wan memberitahu, beliau tidak menolak kemungkinan akan mencipta rekod keenam jika hasratnya itu mendapat kebenaran dari keluarga.