Banyak aduan syok sendiri

Iklan
Dr Jacob George

SHAH ALAM - Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) memaklumkan mereka menerima 98 aduan berkaitan kenaikan harga barangan persekolahan dalam tempoh lima hari dalam minggu ini.

Begitupun, Presidennya, Datuk Dr Jacob George menyifatkan ada aduan tersebut adalah ‘aduan syok sendiri’ dan dianggap tidak realistik.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengguna mempunyai pilihan ketika berbelanja dan sekiranya mereka mendapati harga barang tersebut berpatutan, mereka boleh membelinya.

"Kalau rasa tak bagus, jangan beli. Kuasa ada di tangan pengguna tapi kita tak mahu mereka buat aduan, nak yang harga murah tapi barang berkualiti tinggi. Tak realistik kalau begitu.

Iklan

"Kalau dia beli barangan kualiti rendah pada harga tinggi, kami galakkan dia buat laporan kepada Cassa dan kami akan turun padang untuk siasat.

"Tapi masalah yang timbul adalah banyak aduan dikemukakan adalah aduan syok sendiri. Bila kita bincang, barulah mereka faham keadaan itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Tambah beliau, antara punca kenaikan harga yang berlaku sekarang adalah apabila pasaraya menjual barangan yang diimport dari luar negara.

"Kita tak boleh nafikan banyak barang dijual di pasaraya sekarang, ia barang diimport dan bukan semuanya dari Malaysia.

"Bila ringgit jatuh dan banyak barangan kita import dan beli dalam dolar Amerika Syarikat, tentu ada kenaikan-kenaikan tertentu,” ujarnya.

Dalam pada itu, menerusi maklumat daripada wakil Cassa di Semenanjung Malaysia, Jacob menyifatkan harga barangan persekolahan masih terkawal.

"Pada masa ini, tiada harga meningkat terlalu drastik yang perlukan kita turun padang. Sabah dan Sarawak kita tidak turun tetapi negeri lain, semuanya dalam keadaan terkawal,” katanya.