Pengarah Besar Felda, Datuk Dr Othman Omar berkata, ia susulan daripada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara syarikat-syarikat tersebut yang akan ditandatangani sempena sambutan Hari Peneroka Felda peringkat kebangsaan di Felda Selancar, Rompin esok.
"Ini akan memberi peluang kepada peneroka menceburi bidang-bidang baharu termasuk keusahawanan yang dapat meningkatkan hasil pendapatan mereka dan peneroka tidak perlu lagi terlalu bergantung kepada tanaman sawit semata-mata.
"Kita harap peneroka khususnya golongan muda akan melihat peluang yang ada yang mana terdapat pelbagai tanaman dan ternakan lain yang boleh diusahakan menerusi MoU yang akan ditandatangani," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu program temu bual Ruang Bicara terbitan Bernama News Channel (BNC) di Wisma Bernama, Jumaat malam.
Othman berkata, antara MoU yang akan ditandatangani ialah, MoU antara anak syarikat Felda Encorp Berhad bersama PureCircle Ltd, sebuah syarikat pembekal stevia terbesar di dunia bagi industri makanan dan minuman.
"Syarikat PureCircle ini mahu membantu peneroka Felda menanam stevia. Selain itu, Encorp juga akan bekerjasama dengan sebuah syarikat dari Switzerland untuk teknologi serangga yang mana sekarang ini protein serangga dijadikan salah satu makanan utama masa depan," katanya.
Mengulas mengenai sambutan Hari Peneroka Felda 2019 yang akan berlangsung esok, Othman berkata, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan melancarkan model baharu Felda bagi membantu meningkatkan pendapatan peneroka menerusi pendekatan yang berbeza berbanding sebelum ini.
Menurutnya, Perdana Menteri juga dijadual mengumumkan pemenang Anugerah Keceriaan Kampung Felda bagi 2018 yang akan membawa pulang hadiah wang tunai RM1 juta.
Pengunjung juga dapat menyaksikan demonstrasi masakan daripada chef terkenal Datuk Redzuawan Ismail atau Chef Wan. - Bernama