MARANG - Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa orang Melayu sudah berpecah dan berkecamuk.
Kata Muhammad Khalil, perpecahan bertambah buruk dengan wujudnya satu lagi parti politik orang Melayu yang menyebabkan kaum ini terjerumus dalam politik tidak tentu arah hingga menjadi 'hanyir'.
Menurut bekas Ketua Pemuda Pas itu, dengan terlalu banyak parti politik untuk orang Melayu, fokus dan agenda untuk orang Melayu sudah berkecamuk dan ia bertukar menjadi kepentingan segelintir pihak yang berkepentingan sahaja.
"Saya turut bersetuju dengan Tun Dr Mahathir jika orang Melayu kuat dan bersatu padu, nescaya segala perancangan, agenda dan fokus untuk orang Melayu terutamanya untuk sektor ekonomi, pembangunan modal insan dan meningkatkan taraf hidup orang Melayu dapat dicapai dengan cemerlang," katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu bahawa bangsa Melayu dilihat terus berpecah dengan penubuhan parti Melayu baharu di negara ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Melayu berpecah macam mana nak menang?
Mengulas lanjut, beliau juga percaya ramai tidak menjangkakan orang Melayu berada dalam keadaan begitu lemah seperti sekarang terutamanya selepas PRU14 yang lalu.
Kata Muhammad Khalil, ini bukan kerana UMNO dan BN tumbang sebagai kerajaan Persekutuan tetapi kerana orang Melayu berasa cukup terkesan betapa kurangnya jumlah kerusi Parlimen mahupun DUN dikuasai orang Melayu.
Keadaan itu, katanya, boleh menyebabkan ketidakseimbangan polar kuasa pemerintahan dalam negara walaupun orang Melayu adalah majoriti dan dominan di dalam negara.
"Lalu saya tidak bersetuju dengan saranan Tun Dr Mahathir agar kesemua orang Melayu bersatu di bawah satu parti iaitu Bersatu. Saya merasakan saranan itu sudah lapuk dan ketinggalan arus perdana," katanya.
Sebaliknya, anak kepada presiden Pas itu menyarankan agar Dr Mahathir dan Bersatu untuk bersama dengan Pas dan UMNO dalam agenda muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan masa kini.
Beliau berkata, Pas dan UMNO sudah memulakan agenda perpaduan ummah yang lebih besar matlamatnya dari hanya mahu menyelamatkan kroni dan legasi.
Menurutnya, muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan bukan ideologi ataupun agenda sempit politik perkauman yang seperti dihebohkan.
"Ia adalah bertujuan untuk mengangkat martabat dan politik orang Melayu di tempat yang sepatutnya sesuai dengan apa yang termaktub dalam perlembagaan tanpa meminggirkan mana-mana kaum mahupun agama.
"Ia juga bertujuan untuk memelihara kesucian agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan juga kedaulatan raja-raja Melayu yang menjadi lambang dan tonggak negara," katanya.
Beliau menambah, setelah hampir 62 tahun negara merdeka, orang Melayu masih lagi ketinggalan dalam pelbagai sudut sama ada ekonomi, pendidikan mahupun pembangunan modal insan.
"Apa yang diusahakan dalam muafakat perpaduan ummah bukan hanya sekadar untuk mengangkat kembali martabat dan kuasa politik orang Melayu.
"Tetapi adalah untuk meletakkan kembali agenda dan fokus untuk orang Melayu di tempat yang betul dan sepatutnya agar orang Melayu maju, berkaliber dan mampu berdaya saing samada di dalam negara mahupun di peringkat antarabangsa," katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru Pengerusi Bersatu itu dan semua orang Melayu agar bersama-sama Pas dan UMNO dalam agenda perpaduan ummah.
"Cukup-cukuplah dengan apa yang telah berlaku, ianya jelas tidak menguntungkan sesiapa. Umpama pepatah Melayu"sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya".
"Jangan jadikan diri kita sendiri"petualang" yang menghancurkan masa depan dan kesinambungan politik orang Melayu," katanya.