600 murid terima bantuan kelengkapan sekolah

Iklan
Sebahagian penerima merakam kenangan sempena 'Prolintas Back to School'.
SHAH ALAM - Seramai 600 murid sekolah rendah dan menengah terpilih menerima set pakaian seragam sekolah serta baucar buku bernilai RM200 sempena program ‘Prolintas Back to School’.

Ketua Pegawai Eksekutif Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, kesemua murid terpilih terdiri keluarga kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar kawasan jajaran lebuhraya kendalian Prolintas.

"Kawasan terpilih adalah sekitar Ampang, Keramat, Kajang, Cheras, Shah Alam, Sungai Buloh, Bukit Subang dan Kota Damansara.

"Sebenarnya program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai tanggungan yang ramai dalam menyediakan kelengkapan sekolah untuk anak mereka," katanya.

Hadir sama, Adun Kota Damansara, Shatiri Mansur yang turut sama menyampaikan sumbangan barang keperluan sekolah kepada pelajar terpilih.

Jelasnya lagi, program tahunan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bermula pada tahun 2002 ini memberi manfaat kepada 2,000 pelajar.

"Kami berharap supaya sumbangan ini dapat memberi semangat dan keceriaan kepada murid untuk memulakan sesi persekolahan yang baharu," katanya.