KOTA BHARU - Keluarga murid tahun enam, Wan Mohammed Adam Mohd Suria, 12, yang meninggal dunia selepas terjatuh dari lantai bas yang reput bercadang untuk memfailkan saman kepada semua pihak yang terlibat.
Ibunya, Nik Hasmani Mohamad, 44, berkata, dia mahu menuntut bela dengan kematian anak bongsunya.
Menurutnya, perkara itu perlu diberi perhatian dan pihak berkuasa mesti mengambil tindakan terhadap pihak berkenaan.
"Kami akan mengambil tindakan terhadap pihak sekolah, penganjur, pemandu, pengusaha bas dan Puspakom Sdn Bhd (Puspakom).
"Siapa yang bersalah dalam situasi ini sehingga anak saya menjadi mangsa malah meninggal dunia dalam keadaan sedemikian,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Nik Hasmani berkata, dia akan mengambil tindakan selepas membuat laporan polis esok.
Dia juga memohon semua pihak yang terlibat tidak lepas tangan atau memberi pelbagai alasan kerana kejadian itu menyebabkan kematian seorang kanak-kanak.
Surirumah ini berkata, dia reda dengan kejadian yang menimpa anak lelaki tunggalnya itu namun berharap ia tidak berlaku pada orang lain.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan Wan Muhammed Adam maut digilis selepas terjatuh dari lantai bas yang berlubang pada jam 12.50 tengah hari di Kampung Kandis, Pasir Puteh Khamis lalu.
Kanak-kanak tahun enam itu dikatakan bersama 30 murid dari Sekolah Kebangsaan Tok Bok, Machang dalam perjalanan ke Bukit Kluang, Terengganu bagi mengikuti Bengkel Bahasa Inggeris.
Kejadian dipercayai berlaku apabila Wan Muhammed Adam dan beberapa rakan berdiri di bahagian hadapan bas berdekatan tangga sebelum lantai bas itu 'jerlus' dan menyebabkan mangsa terjatuh ke atas jalan raya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Murid tahun enam maut lantai bas berlubang
Bas berlubang: Hilang anak lelaki tunggal sekelip mata