BALING - Jadual padat tidak menghalang, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu bersama isteri, Normah Alwi meluangkan masa menziarahi keluarga rakan baiknya di Kampung Charok Bemban Kupang, semalam.
Mohd Hanif Zakaria, 25, berkata, Mohamad Sabu yang merupakan rakan baik arwah ayahnya dikenali Pakya Hindi tidak berubah walaupun sudah bergelar menteri.
Menurutnya, sejak 35 tahun lalu, Mohamad Sabu atau mesra disapa abang Mat sering mengunjungi mereka setiap kali datang ke Baling.
"Saya amat berterima kasih kepada beliau walaupun berjawatan menteri, tapi masih tak lupa pada arwah ayah saya yang meninggal dunia hampir tiga tahun lalu.
"Jika mai Baling, di rumah inilah tempat persinggahannya. Kami sekeluarga amat teruja dengan kehadiran beliau dan isteri," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Mohd Hanif yang juga Naib Pemuda Amanah Baling berkata, Mohamad Sabu masih tidak melupakan makanan kegemaran iaitu pulut ditabur nyior.
"Jiran-jiran saya sangat terkejut bila tengok abang Mat mai. Tiba-tiba saja sesak jalan depan rumah kami dengan kereta polis dan pengiringnya.
"Dalam masa sama, depa datang jumpa abang Mat untuk kenal-kenal dengan lebih dekat," katanya.